Buletin
Neelofa bersyukur tercalon dalam Influencer Awards 2019 Monaco


Tarikh disiarkan: 24 Jun 2019


Neelofa tidak mengharapkan apa-apa kemenangan sebaliknya teruja bakal menemui
individu-individu penting dalam bidang perniagaan.

24 Jun – Pelakon dan pengacara Neelofa melakar sejarah apabila menjadi individu pertama dari Malaysia yang dicalonkan dalam Influencer Awards 2019 Monaco.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka tercalon dalam anugerah ini. Selain dikelolakan oleh keluarga diraja dan diadakan di luar negara, majlis anugerah ini juga bakal dimeriahkan dengan calon-calon lain daripada negara-negara berbeza.

"Tentulah, menang bakal menjadi satu yang besar kepada saya. Tetapi, saya mahu ke sana kerana merasakan ia masa yang sesuai untuk berjumpa dengan individu-individu berpengaruh lain dan mengembangkan rangkaian saya," ujar Neelofa.

Menerusi laporan yang dipetik dari mStarOnline, Neelofa berharap melalui pencalonan ini, dia bakal memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya kepada usahawan-usahawan muda.

Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, meluahkan rasa syukur kerana bakal bertemu orang-orang penting dalam bidang perniagaan serta tidak mengharapkan kemenangan buat masa ini.


Rata-rata peminat pelakon drama "Red Velvet" ini mengucapkan tahniah kepadanya di atas pencalonan tersebut menerusi laman media.

Anugerah berprestij peringkat antarabangsa itu merupakan penganjuran kedua selepas ia diadakan pada 7 Oktober tahun lalu di Hotel Meridien Beach Plaza.

Anak sulung kepada Puteri Monaco, Pauline Ducruet telah merealisasikan anugerah ini bersama Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Anugerah yang dipengerusikan oleh keluarga diraja Monaco itu bakal berlangsung pada hujung tahun ini iaitu 5 dan 6 Oktober.

(Sumber foto: Noor Neelofa Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: