Buletin
Pihak wayang lapor tindakan Neelofa rakam filem dalam panggung


Tarikh disiarkan: 24 Julai 2019


Neelofa tampil memohon maaf atas tindakannya merakam filem dalam panggung.

24 Jul – Isu yang dibangkitkan oleh orang ramai mengenai perbuatan pelakon dan pengacara Neelofa merakam sedutan filem "The Lion King" telah mendapat perhatian daripada pihak wayang.

Isu itu mula tular di laman sosial apabila seorang warganet telah memuat naik 'screenshot' 'story' Instagram Neelofa merakam beberapa babak filem itu di dalam panggung.

Lantaran itu, Golden Screen Cinemas (GSC) telah mengambil berat perkara tersebut serta melaporkannya kepada pihak pengedar filem untuk tindakan yang lebih lanjut.

"Terima kasih kerana memberitahu. Kami telah melaporkan perkara ini ke pihak pengedar filem (Disney) untuk tindakan lanjut," tegas GSC menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter.

Selain GSC, pihak TGV Cinemas turut bertanyakan mengenai butiran mengenai lokasi panggung dan menyatakan pihak mereka memandang serius terhadap isu cetak rompak.


Sementara itu, laporan dari Harian Metro menyatakan Neelofa tampil meminta maaf atas perbuatannya serta menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk melanggar undang-undang hak cipta.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, menjelaskan dia hanya berbuat demikian kerana ingin mempromosikan filem yang diterbitkan oleh Disney itu.

Pengacara program MeleTop itu berkata dia akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan yang dilakukannya.

"Saya mengharapkan lebih ramai rakyat Malaysia menontonnya. Apatah lagi cerita terbabit sesuai menjadi tontonan seisi keluarga.

"Saya mengharapkan umum belajar daripada kesilapan dilakukan ini supaya mereka turut berhati-hati pada masa hadapan dengan tidak mengulangi apa saya lakukan," katanya.

(Sumber foto: Neelofa Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide