Buletin
Nabila Huda berubah selepas jayakan filem "M4M4"


Tarikh disiarkan: 15 Januari 2019


Nabila Huda akui terlalu memikirkan watak yang dibawa sehingga ia
terbawa-bawa di luar set penggambaran.

15 Jan – Pelakon Nabila Huda mendedahkan sikapnya mula berubah sejak menjayakan watak sebagai Aini dalam filem seram terbarunya berjudul "M4M4".

Menurut Nabila, watak tersebut memberi impak cukup besar buatnya apabila dia mengakui asyik mengigau, melalak, meraung dan sedih hampir setiap hari.

"Berat sungguh watak Aini kerana saya sendiri dapat merasakan beratnya kepala saya berfikir. Suami sudah beri amaran supaya saya tinggalkan watak Aini di luar pagar rumah sebab menurutnya saya asyik marah-marah dan sangat emosi sejak penggambaran filem itu.

"Saya ni kadang-kadang seperti hidup dalam penafian apabila suami cakap perubahan perangai saya setiap kali saya terlibat dengan drama atau filem, saya mesti nafi. Padahal dia yang nampak dan dia jadi mangsa sebenarnya," tulisnya di laman sosial Instagram miliknya.


Dalam pada itu, pelakon "Munafik" ini berkata dia berasa hairan kerana apabila dia berada di set penggambaran sikapnya biasa sahaja, malah boleh bergelak ketawa dan berborak macam biasa, tidak seperti berada di rumah.

Nabila merasakan punca dia berubah sikap adalah kerana penangan watak Aini yang baginya cukup berat sehingga membuatnya terbawa-bawa ke rumah.

Selain Nabila, filem arahan Eyra Rahman ini turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Faizal Hussein, Kodi Rasheed, Eyra Hazali, Bella Dowana dan ramai lagi.

(Sumber foto: Nabila Huda Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide