Buletin
Pablo Amirul kurang berjalan demi hayati watak atlet paralimpik


Tarikh disiarkan: 13 November 2019


Pablo Amirul kagum dengan golongan OKU masih boleh melakukan
pelbagai perkara walaupun kekurangan.

13 Nov – Sering membawa watak antagonis, pelakon Pablo Amirul bakal tampil berbeza dalam filem terbarunya berjudul "Garang" apabila dia bakal membawa watak sebagai orang kurang upaya (OKU) yang memerlukannya menggunakan kerusi roda.

Menurut Pablo atau nama sebenarnya Amirul Hisyam Mohd Sakri, demi menghayati watak sebagai OKU, dia terpaksa mengurangkan pergerakan bahagian pinggang ke bawah ketika di set penggambaran.

"Saya memegang watak anggota tentera bernama Kamal yang pulang daripada berjuang dalam keadaan lumpuh. Bukan mudah untuk membawakan karakter ini kerana tidak dapat bergerak.


"Jadi saya banyak belajar daripada Wan Hanafi yang dipanggil ayah dan ibu Fauziah Nawi," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pelakon berusia 34 tahun ini lagi, dia juga perlu duduk di atas kerusi roda selama 14 jam setiap hari sepanjang tempoh sebulan.

"Walaupun berasa kurang selesa, kebas dan rasa panas, namun perasaan itu dibuang jauh apabila melihat kekuatan dan semangat barisan pelakon OKU dalam filem itu."

Selain Pablo, filem arahan Sakti Films Sdn Bhd ini turut dibintangi barisan pelakon hebat lain seperti Jalil Hamid, Ahmad Maembong, Chacha Maembong, Adam Lee dan ramai lagi.

"Garang" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 3 Disember ini.

Sementara itu, selain "Garang" Pablo juga bakal muncul dengan filem aksi terbarunya berjudul "KL Vampires" yang akan ditayangkan pada 14 November ini.

(Sumber foto: Pablo Amirul Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Garang (Melayu) (5 Disember 2019)
KL Vampires (Melayu) (14 November 2019)
Gudang Kubur (Melayu) (12 Februari 2015)





Ticket Pricing Guide