Buletin
Parineeti Chopra: Saya masih belajar cara main badminton


Tarikh disiarkan: 16 Jun 2019


Parineeti Chopra ingin mahir main badminton sama seperti Saina Nehwal.

16 Jun – Parineeti Chopra berkongsi perkembangan mengenai projek terbarunya iaitu filem biopik pemain badminton perempuan India, Saina Nehwal.

Aktres berusia 30 tahun itu memberitahu bahawa dia belum menjalani penggambaran buat masa ini kerana sedang berlatih bermain badminton.

"Hai semua, kami masih belum memulakan penggambaran "Saina" buat masa ini. Saya masih belajar cara untuk bermain badminton.


"Kami akan mulakan produksi pada Oktober selepas saya mahir bermain," jelas Parineeti menerusi status yang dimuat naik di laman Twitter peribadinya.

Menurut laporan dari NDTV, Parineeti telah menonton beberapa rakaman video badminton Saina Nehwal bagi mempelajari gerak geri atlet tersebut.

Tambah dia lagi, nasihat paling penting yang diterimanya daripada pengarah dan orang lain adalah dia perlu menyaksikan perlawanan badminton Saina.

Parineeta mengakui dia belum habis menonton perlawanan itu namun dia ingin bermain badminton sama seperti atlet kebanggaan negara itu.

Asalnya, watak Saina diberikan kepada Shraddha Kapoor dan dia telah memulakan penggambaran sebelum terpaksa menarik diri kerana terikat dengan beberapa buah projek lain.

Filem itu akan diarahkan oleh Amol Gupte. Penggambaran akan dimulakan pada Oktober dan dijangka akan dirilis pada awal tahun hadapan.

Dalam perkembangan baru, Parineeti yang kali terakhir dilihat dalam filem "Kesari" bakal membintangi filem lain seperti "Bhuj: The Pride Of India", "Jabariya Jodi", "Sandeep Aur Pinky Faraar" dan 'remake' Hindi "The Girl On The Train".

(Sumber artikel: NDTV)

(Sumber foto: Pinterest)

Penulis: Nisa Irina