Buletin
Parineeti Chopra terpaksa berehat dari jalani latihan badminton


Tarikh disiarkan: 19 November 2019


Parineeti Chopra akan berehat dan menjalani rawatan fisioterapi selama dua minggu.

19 Nov – Biarpun pihak produksi filem biopik "Saina" berusaha sehabis baik untuk memastikan tiada sebarang kemalangan berlaku ketika latihan badminton dijalankan, namun ia tidak menghalang aktres Parineeti Chopra daripada tercedera.

Menurut laporan dari Deccan Chronicle, Parineeti cedera di bahagian tengkuk ketika membuat persiapan bagi biopik itu dan terpaksa berehat selama dua minggu sebelum kembali ke gelanggang badminton semula.

"Saya dan seluruh kru produksi sangat berhati-hati supaya saya tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang latihan berlangsung, namun malang tidak berbau.

"Saya akan berehat sepenuhnya sebelum kembali bermain badminton semula," katanya yang ditulis menerusi kapsyen fotonya yang dimuat naik di laman Instagram baru-baru ini.

Dalam pada itu, Parineeti turut berkongsikan sebuah rakaman video di mana dia sedang menjalani rawatan fisioterapi yang dikendalikan oleh pakar fisioterapi Apoorva.

Parineeti telah menjalani latihan badminton selama empat bulan dan kini menetap di Kompleks Sukan Antarabangsa Ramsheth Thakur sebelum penggambaran dimulakan sebulan lagi.

Sebelumnya, Parineeti juga telah terbang ke Hyderabad untuk bertemu dengan Saina Nehwal sendiri serta berpeluang untuk tinggal di rumah atlet badminton tersebut selama sehari.

Beralih ke perkembangan lain, Parineeti baru sahaja selesai menjalani penggambaran 'remake' filem Hollywood "The Girl on the Train" di London baru-baru ini.

(Sumber foto: Parineeti Chopra Instagram)

(Sumber artikel: Deccan Chronicle)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide