Buletin
Parineeti Chopra mahu lebar sayap nyanyiannya


Tarikh disiarkan: 20 April 2019


Parineeti Chopra dedah dia sudah mula meminati dunia nyanyian sejak berusia tiga tahun lagi.

20 Apr – Aktres jelita Parineeti Chopra memberitahu sudah tiba masa untuknya melebarkan sayap dalam dunia nyanyian pula.

Parineeti yang menyumbang suara untuk lagu "Teir mitti" dari filem "Kesari" berharap pengarah muzik dapat memberikan lebih peluang untuk meneroka bakat nyanyiannya.

"Saya rasa kini adalah masa untuk saya bernyanyi dan menunjukkan kepada orang ramai apa yang saya boleh buat kerana saya percaya saya boleh menyanyi. Saya juga sudah dilatih dan boleh terus belajar untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus.


"Saya mahu hasilkan lagu yang dekat dengan belia. Oleh itu, kepada pengarah muzik yang sedang mencari penyanyi baru saya ingin mencuba," ujarnya yang dipetik dari Bollywood.com.

Terdahulu lagu "Teri mitti" nyanyiannya telah mendapat maklum balas positif daripada penonton dan juga penggiat muzik.

Lagu itu adalah lagu keduanya selepas lagu "Maana ke hum yaar nahin" dari filem "Meri Pyaari Bindu".

Dalam pada itu, dia berasa bersyukur apabila dilahirkan dalam keluarga penyanyi dan sememangnya sudah meminati dunia nyanyian sejak berusia tiga tahun lagi.

Malah bapanya Pawan Chopra juga memberi sokongan untuknya meneruskan hasratnya untuk menjadi penyanyi disamping turut meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

(Sumber foto: Parineeti Chopra Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser