Buletin
Parineeti Chopra & Sidharth Malhotra dedah cabaran jayakan "Jabariya Jodi"


Tarikh disiarkan: 21 Julai 2019


Parineeti Chopra digandingkan bersama Sidharth Malhotra dalam filem ini.

21 Jul – Peneraju filem "Jabariya Jodi" Parineeti Chopra dan Sidharth Malhotra telah membuka cerita tentang pengalaman menjalani penggambaran filem tersebut di Lucknow.

"Cabaran terbesar kami sepanjang penggambaran filem ini adalah kami terpaksa menahan suhu cuaca yang tinggi. Ia sangat panas sampai kami sukar untuk bernafas," ujar Parineeti.

"Kami akan berada di Lucknow pada Ogos dan September untuk menjalani penggambaran. Kami juga berpeluang untuk menikmati Litti Chokha buat pertama kali," tambah Sidharth yang berkongsi pengalaman merasai hidangan tempatan di sana.

Seperti yang dilaporkan menerusi India Today, "Jabariya Jodi" berkisar mengenai konsep pakadwa vivah (penculikan pengantin lelaki) yang dilihat berleluasa di Bihar.


Bagaimanapun, pembikin tidak mahu filem itu kelihatan terlalu serius jadi mereka mengambil inisiatif dengan menambah elemen komedi di dalamnya.

Isu itu dikatakan agak serius di mana golongan lelaki di Bihar dipaksa berkahwin dan kadangkala melibatkan kekerasan.

"Memang benar penculikan pengantin lelaki merupakan salah satu perkara yang dipraktikkan di Bihar selama beberapa tahun. Tetapi ramai yang tidak tahu kenapa ia dilakukan.

"Jadi saya rasa ia agak menarik untuk menekankan isu ini kepada orang ramai yang ingin tahu lebih lanjut," ulas pengarah Prashant Singh.

Tambahan lagi, pengarah itu mahu menyampaikan mesej melalui filem itu tetapi dengan cara yang menghiburkan buat penonton.

Filem komedi terbitan Ekta Kapoor, Shobha Kapoor dan Shailesh R Singh itu akan ditayangkan di pawagam bermula 2 Ogos depan.

(Sumber artikel: India Today)
(Sumber foto: Parineeti Chopra & Sidharth Malhotra Instagram)

Penulis: Nisa Irina