Buletin
Parineeti Chopra tinggal di kompleks sukan 15 hari untuk "Saina"


Tarikh disiarkan: 7 November 2019

Parineeti Chopra mahu pastikan lakonannya sempurna apabila menjayakan watak sebagai pemain badminton lagenda India.
Parineeti Chopra mahu pastikan lakonannya sempurna apabila menjayakan watak
sebagai pemain badminton lagenda India.

7 Nov– Umum mengetahui aktres popular Parineeti Chopra kini memberi fokus sepenuhnya untuk filem biopik sukan terbarunya berjudul "Saina" yang bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

Selepas bersetuju untuk membintangi filem yang berkisarkan mengenai ikon sukan badminton India iaitu Saina Nehwal, Parineeti telah mula menjalani latihan badminton selama empat bulan bagi memastikan dia mahir dalam bermain badminton supaya lakonannya kelak sempurna.

Malah aktres itu turut mengambil insitiatif sendiri dengan melawat keluarga pemain badminton terkenal itu bagi melihat dan merasai sendiri rutin harian atlet tersebut.

Terbaru menurut laporan dari Bollywood Hungama, Parineeti sekali ini memperlihatkan komitmen tingginya terhadap watak yang dibawanya apabila dia bakal berkampung di kompleks sukan selama 15 hari sepanjang penggambaran berlangsung kerana dia mahu berlatih pada masa sama mengurangkan masa perjalanan.


"Saya ambil keputusan untuk tinggal di kompleks sukan kerana saya mahu berlatih dan melakukan penggambaran di lokasi sama. Ia penting untuk saya memperbaiki permainan saya ketika penggambaran berlangsung kerana saya mahu kelihatan sempurna sebelum penggambaran di mana saya perlu bermain seperti Saina.

"Saya akan habiskan sekurang-kurangnya 4-5 jam dari rumah ke lokasi, jadi lebih baik saya tinggal di kompleks sukan dan gunakan masa tersebut untuk latihan badminton saya," ujarnya.

Aktres itu juga meluahkan rasa terima kasihnya kepada pihak produksi dan pengarah yang membenar dan menyediakan tempat tinggal yang selesa untuknya.

Parineeti akan tinggal di Ramsheh Thakur International Sports Complex yang mana dia juga akan mempunyai seorang tukang masak bersamanya untuk menyediakan makanan sihat sepanjang penggambaran.

Filem arahan Amol Gupte itu akan menemui penonton pada awal tahun 2020.

(Sumber: Bollywood Hungama)

(Sumber foto: Parineeti Chopra Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide