Buletin
Pekin Ibrahim bakal muncul dengan filem "Adiwiraku 2"


Tarikh disiarkan: 11 Jun 2019


Pekin Ibrahim selalu bertemu dengan Cikgu Azman bagi mendalami karakter cikgu itu.

11 Jun – Pelakon Pekin Ibrahim bakal muncul dengan filem terbaru "Adiwiraku 2" yang mana ia sebuah naskhah yang diangkat dari kisah sebenar mengenai seorang guru sukan iaitu Cikgu Azman di Negeri Sembilan.

Menurut Pekin, untuk menjiwai watak Cikgu Azman itu dia sanggup berulang alik dari Kuala Lumpur ke Gemencheh, Negeri Sembilan semata-mata mahu mendekati Cikgu Azman selain belajar berturut dalam loghat Nogori.

"Memang susah untuk menukar cara pertuturan, apatah lagi lidah saya sudah sebati dengan loghat Kelantan. Saya perlu membuat persediaan yang cukup untuk menghidupkan karakter Cikgu Azman.


"Kalau setakat latihan biasa, mungkin ia tidak begitu menjadi. Justeru, sepanjang dua bulan, saya sanggup berkorban tenaga berulang-alik ke Gemencheh untuk bertemu Cikgu Azman," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Tambah pelakon "KL Wangan" itu lagi, dia perlu pastikan yang dia dapat menjiwai karakter itu supaya ia tidak kelihatan janggal di layar perak kelak.

Pekin turut membuat kajian terperinci untuk karakter itu termasuk merujuk sendiri dengan Cikgu Azman seperti cara percakapan dan gaya pembawaan diri.

Selain itu, dia juga turut menitik beratkan soal fizikal yang mana dia cuba akan pastikan bentuk fizikalnya juga akan hampir sama dengan Cikgu Azman.

Filem "Adiwiraku 2" ini diarahkan bersama oleh Jason Chong dan Eric Ong.

Terdahulu filem "Adiwiraku" yang ditayangkan pada tahun 2017 telah berjaya menang besar di Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM 29) termasuk Filem Terbaik.

Filem terbaru ini bukanlah sekuel dari filem pertama, sebaliknya ia merupakan francais yang akan menceritakan kisah-kisah wira tak didendang.

(Sumber foto: Pekin Ibrahim Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide