Buletin
Pelakon tempatan tak sokong cadangan FINAS tapis Netflix


Tarikh disiarkan: 19 November 2019


Beto Kusyairy, Redza Minhat dan Tony Eusoff gesa ibu bapa kawal anak-anak.

19 Nov – Sesetengah pelakon tempatan membidas cadangan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham yang menggesa kerajaan supaya menapis kandungan portal penstriman video terkenal Netflix.

Pada hujung minggu lalu, Ahmad Idham telah menyarakan pihak kerajaan untuk mewujudkan akta mengawal selia kandungan video platform penstriman itu, menyebabkan ketidakpuasan hati ramai pihak.

Menerusi laman Twitter, antara pelakon yang menyuarakan rasa kurang senang dengan cadangan adalah seperti Beto Kusyairy, Redza Minhat dan Tony Eusoff.


"Tak sangka yang penonton kita ini teruk sangat tahap pemikirannya, tak boleh nak kawal diri atau anak-anak sampai kena gesa kerajaan yang kawal," tulis Beto.

Menurut Redza pula, ibu bapa perlu memperkasakan diri mereka sendiri dan jangan melanggan Netflix jika tidak mampu mengawal diri masing-masing dan anak-anak.

"Tolong jangan buat macam ini FINAS. Ibu bapa nak mengeluh sangat suruh mereka batalkan sahaja akaun Netflix sendiri, senang. Ini tidak adil untuk orang lain. Ibu bapa, sila pantau anak-anak sendiri. Jangan jadi ibu bapa yang malas," ujar Tony.

Dalam pada itu, laporan dari mStar Online menyatakan seorang lagi pelakon terkenal, Sharifah Sakinah, turut tidak menyokong cadangan yang dikemukakan oleh Ahmad Idham.

"Hari ini, CEO FINAS mencadangkan kerajaan untuk menapis kandungan Netflix di mana saya tak bersetuju. Ya mungkin ada kandungan yang tak sesuai untuk kanak-kanak tapi kita boleh guna PIN keselamatan.

"Untuk ibu bapa yang risau dengan aplikasi ini, anda boleh tetapkan kata laluan untuk elakkan anak-anak menonton atau lebih senang jangan langgan. Tolong jangan kacau Netflix," katanya.

(Sumber foto: Beto Kusyairy, Redza Minhat, Tony Eusoff Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Bisik Pada Langit (Melayu) (21 September 2017)
Motif (Melayu) (26 September 2019)
Dendam Pontianak (Melayu) (12 September 2019)





Ticket Pricing Guide