Buletin
Pengarah Ali Abbas Zafar buat debut sebagai komposer dan penulis lirik


Tarikh disiarkan: 18 Mei 2019


Ali Abbas Zafar memuji lakonan Salman Khan kerana baginya tiada siapa yang
boleh membawa watak dengan penuh emosi.

18 Mei – Pengarah filem "Bharat", Ali Abbas Zafar akan membuat debut sebagai komposer dan penulis lirik bagi 'soundtrack' filem itu.

Memetik laporan MumbaiMirror, filem itu akan menampilkan enam buah lagu berkenaan pelbagai jenis festival dan peneraju utama, Salman Khan.

Lagu utama dalam 'soundtrack' filem yang berjudul "Zinda" merupakan hasil ciptaan Ali dan Julius Packiam yang turut bekerjasama dalam pembikinan 'soundtrack' filem tersebut.

"Pada asalnya ia adalah sebuah puisi yang saya tulis semasa menghasilkan skrip filem. Mesej yang ingin disampaikan menerusi "Bharat" adalah kepercayaan dan keyakinan yang membuatkan anda mahu meneruskan hidup," jelas pengarah yang berbakat itu.

Ali mendedahkan bahawa trek lagu itu akan dimainkan semasa babak paling bermakna iaitu ketika watak Bharat berada dalam jatuh bangun kehidupannya.


Tambahnya lagi, ia adalah sebuah lagu untuk menaikkan semangat dan menanam kekuatan watak tersebut yang dilakonkan oleh Salman.

Lagu "Zinda" dinyanyikan oleh Vishal daripada pasangan komposer Vishal-Shekhar yang telah menyumbangkan tenaga dalam penghasilan album lagu filem itu.

Menurut Ali, Salman masih belum mengetahui tentang penglibatannya sebagai komposer dan penulis lirik tetapi tahu bahawa Ali sedang membikin sesuatu.

Hubungan Ali dan Salman agak rapat jadi dia tidak berasa terlalu risau jika dia lambat memberitahu Salman tentang butiran ini.

Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama dalam filem "Sultan" dan "Tiger Zinda Hai" jadi Ali percaya bahawa penting untuk membikin watak yang jauh berbeza dengan kehidupan sebenar para pelakon.

Watak Salman sentiasa memberi inspirasi kepada penonton namun Ali menjelaskan filem "Bharat" lebih beremosi dari filem thriller perisik dan filem gusti tersebut.

Selain Salman, "Bharat" turut menampilkan barisan pelakon seperti Katrina Kaif, Sunil Grover, Shashank Arora dan Jackie Shroff.

(Sumber foto: DNA India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide