Buletin
Pakistan minta jawatan Priyanka Chopra sebagai duta keamanan digugurkan


Tarikh disiarkan: 23 Ogos 2019


Priyanka Chopra telah dituduh menyokong serangan nuklear oleh India terhadap Pakistan.

23 Ogos – Lantaran kontroversi yang melanda aktres Priyanka Chopra apabila digelar hipokrit baru-baru ini, Pakistan telah meminta United Nations (UN) untuk menggugurkan jawatannya sebagai duta keamanan UNICEF.

Menteri Hak Asasi Manusia Pakistan, Shireen Mazari, telah menghantar surat rasmi kepada UNICEF yang menyatakan Priyanka menggalakkan peperangan dan serangan nuklear terhadap Pakistan oleh Menteri Pertahanan India.

"Cik Chopra telah menyokong kerajaan India terhadap Kashmir dan ancaman nuklear terhadap Pakistan oleh Menteri Pertahanan India.

"Perkara ini telah menentang prinsip keamanan yang mana Cik Chopra sepatutnya pegang sebagai duta keamanan UN," tulis Mazari dalam surat tersebut.


Menurut laporan yang dipetik dari India Today, kerajaan India telah membatalkan autonomi separa rantau majoriti wilayah orang Islam dan mengenakan sekatan keselamatan dan komunikasi.

Isteri kepada Nick Jonas itu telah diangkat sebagai duta keamanan UNICEF pada 2010 dan 2016 namun jawatannya telah dipertikaikan akibat satu status kontroversi yang dimuat naik di laman Twitter pada Februari lalu.

"Melainkan dia digugurkan secepat mungkin, isu mengenai jawatannya sebagai duta keamanan UN akan terus dipersoalkan secara global," tambah Mazari lagi.

Mengulas isu terbabit pada awal bulan ini, Priyanka membalas tuduhan yang diterimanya dengan mengatakan dia tidak gemarkan peperangan sebaliknya menyifatkan dirinya sebagai seorang yang patriotik.

(Sumber foto: Feminism In India)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina