Buletin
Priyanka Chopra bakal jadi pengarah filem?


Tarikh disiarkan: 5 Oktober 2019

Priyanka Chopra Jonas bakal tampil dalam filem baru
Priyanka Chopra Jonas bakal tampil dalam filem baru "The Sky Is Pink".

5 Okt – Setelah berjaya menerbitkan beberapa buah filem, aktres terkenal Priyanka Chopra Jonas mendedahkan bahawa dia berasa gusar untuk beralih ke bidang pengarahan filem.

"Ia suatu perkara yang membuatkan saya berasa gusar kerana terdapat pelbagai tanggungjawab yang harus dipegang. Namun secara perlahan-lahan, saya mula melangkah dari bidang lakonan ke bidang produksi.

"Saya berharap suatu hari nanti saya akan mula melangkah ke bidang pengarahan filem pula," kata pemilik syarikat Purple Pebble Pictures itu yang dipetik dari India Today.


Antara filem yang pernah diterbitkan oleh Priyanka ialah "Bhoga Khirikee", "Paani", "Firebrand", "Pahuna: The Little Visitors" dan "Sarvann".

Dalam pada itu, Priyanka bakal tampil dengan filem baru "The Sky Is Pink", yang mana dia bertindak sebagai pelakon serta penerbit filem tersebut.

Menerusi filem itu juga, Priyanka telah bekerjasama dengan pengarah Shonali Bose, menandakan kolaborasi keduanya bersama pengarah wanita dalam filem Bollywood.

Isteri kepada penyanyi pop Hollywood Nick Jonas itu menyifatkan Shonali sebagai seorang pengarah wanita yang hebat dan perkara berkenaan tidak hanya dipandang dari segi jantina seseorang.

"Saya tak rasa jantina seseorang itu memberi maksud apa-apa. Lelaki dan wanita berkemampuan di atas usaha mereka sendiri. Saya berbesar hati dapat bekerja dengan Shonali," tambahnya lagi.

Filem "The Sky Is Pink" terbitan RSVP, Roy Kapur Films bersama SK Global dan Purple Pebble Pictures, turut dibintangi oleh Farhan Aktar, Zaira Wasim dan Rohit Saraf. Ia bakal ditayangkan di pawagam bermula 11 Oktober ini.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide