"Pusaka 2" akan direalisasikan tidak lama lagi | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Pusaka 2" akan direalisasikan tidak lama lagi

Penulis: Ashraf Nasser


Syafiq Kyle dalam salah satu babak "Pusaka".

4 Dis – Agak mengejutkan apabila filem bergenre penyiasatan seram "Pusaka" berjaya meraih kutipan pecah panggung iaitu lebih RM13 juta walaupun pada mulanya ramai yang tidak yakin filem ini mampu mencipta kejayaan.

Susulan kejayaan itu, pengarahnya Razaisyam Rashid bakal menghasilkan sekuel filem itu yang mana ia kini dalam proses perbincangan untuk merealisasikannya.

"Skrip untuk sekuel filem ini masih dalam proses dan penggambaran filem ini dijangka berlangsung pada tahun depan.

"Kos produksi untuk sekuel ini juga dijangka lebih tinggi berbanding filem "Pusaka" yang pertama," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Razaisyam tidak menyangkal kejayaan filem itu datang dari populariti pelakon utama filem itu iaitu Syafiq Kyle, namun dia juga percaya kejayaan sesebuah filem memerlukan gabungan pelakon terkenal dan kekuatan jalan cerita naskhah terbabit.

"Penonton kita sekarang sudah bijak dan memiliki cita rasa tinggi bagi menilai sesuatu karya yang berbaloi untuk mereka ke pawagam."

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai filem sekuel "Pusaka", Razaisyam berkata walaupun masih belum mempunyai jalan cerita lagi namun untuk barisan pelakon dia akan mengekalkan barisan pelakon sama iaitu Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faizal Hussein, Fauziah Ahmad Daud, Hafidz Roshdi dan Sweet Qismina.

Sementara itu, selepas "Pusaka" dia juga baru sahaja muncul dengan drama bersiri seram thriller berjudul "Sembilan" yang akan ditayangkan secara eksklusif di Astro Go.

Cinema Online, 04 Dis 2019

Filem Berkaitan:
Pusaka (Malay) (31 Oct 2019)


Waktu Tayangan