Buletin
Sweet Qismina perlahankan karier demi fokus pelajaran


Tarikh disiarkan: 9 Ogos 2019


Sweet Qismina akui selesa berkawan rapat dengan pelakon Adam Lee.

9 Ogos – Demi memberi sepenuh tumpuan terhadap pelajarannya, pelakon Farhanna Qismina atau lebih mesra disapa Sweet berkata dia telah menolak beberapa tawaran berlakon.

"Saya harus memberikan tumpuan penuh kerana ingin menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan. Saya juga sanggup ketepikan seketika tawaran berlakon untuk memberikan fokus kepada pelajaran.

"Lagipun, saya bakal menjalani latihan industri pada tahun depan. Memang agak mencabar, namun saya teruja meniti pengalaman baharu yang akan mematangkan lagi diri dan pemikiran," katanya yang dipetik dari BH Online.


Pelakon yang baru-baru ini membintangi drama "Adam Chempaka" itu merupakan pelajar diploma dalam kursus Asas Seni yang kini berbaki tiga semester lagi.

Menerusi drama 13 episod yang ditayangkan di saluran TV3 itu, Sweet telah digandingkan bersama pelakon Adam Lee. Sebelumnya, Sweet turut membuat pengakuan bahawa dia selesa berkawan rapat dengan Adam.

Dalam perkembangan terbaru, Sweet bakal membintangi sebuah filem komedi romantik berjudul "Kenderaan Berat Ikut Kiri" di mana dia akan digandingkan dengan Syafie Naswip.

Bagaimanapun, filem itu masih dalam proses pos produksi dan buat masa ini sebarang butiran lanjut mengenai tarikh tayangannya belum didedahkan lagi.

(Sumber foto: Sweet Qismina Instagram)

Penulis: Nisa Irina








Ticket Pricing Guide