Buletin
Radhika Apte berganding dengan Charlie Hunnam dalam "Shantaram"


Tarikh disiarkan: 19 September 2019


Radhika Apte teruja dapat membintangi siri drama antarabangsa bersama aktor Richard Roxburgh.

19 Sep – Selepas menjadi bintang dalam siri Netflix India, kini aktres Radhika Apte bakal melangkah ke sebuah lagi portal penstriman video terkenal, Apple TV+, menerusi siri drama "Shantaram".

Lebih menarik lagi, Radhika berpeluang untuk digandingkan bersama pembikin filem dan aktor Hollywood dari Australia, Richard Roxburgh, yang pernah membintangi filem "Hacksaw Ridge" 2016.

Teruja dengan penglibatannya dalam siri antarabangsa itu, rata-rata rakan selebriti Bollywood telah mengucapkan tahniah kepada Radhika menerusi laman sosial.

Menurut laporan dari Mashable India, Radhika akan menggalas watak seorang wartawan India bernama Kavita sementara Roxburgh pula membawa watak Detektif Sarjan Marty Nightingale, seorang anggota Polis Persekutuan Australia.


Siri drama 10 episod itu turut diterajui oleh seorang lagi aktor Hollywood Charlie Hunnam, yang terkenal menerusi filem "Pacific Rim", sebagai watak utama bernama Lindsay Ford.

"Shantaram" merupakan sebuah adaptasi novel hasil karya Gregory David Roberts yang sama judul, di mana pihak Apple telah mendapatkan kebenaran hak cipta rasmi pada Jun 2018.

Novel itu berkisar mengenai kehidupan sebenar Roberts, dengan memfokuskan sebuah watak bernama Lin, seorang banduan yang melarikan diri dari penjara Australia dengan harapan untuk bersembunyi di bandar Bombay.

Penggambaran dijadualkan untuk bermula pada Oktober depan di beberapa lokasi serata India dan Australia. Dua episod pertama siri itu akan diarahkan oleh Justin Kurzel, yang pernah mengarah filem "Assassin's Creed".

Kali terakhir Radhika dilihat beraksi di skrin lebar Bollywood adalah menerusi filem "AndhaDhun" dan "Bombairiya".

(Sumber foto: Grazia India)
(Sumber artikel: Mashable India)

Penulis: Nisa Irina