Buletin
Raja Ilya lega "KL Vampires" akhirnya ditayangkan


Tarikh disiarkan: 11 November 2019

Raja Ilya hadir ke malam tayangan perdana "KL Vampires" bersama suaminya.
Raja Ilya hadir ke malam tayangan perdana "KL Vampires" bersama suaminya.

11 Nov – Pelakon Raja Ilya mengakui pernah berasa hampir putus asa untuk berharap filem terbaru lakonannya iaitu "KL Vampires" akan ditayangkan, namun bersyukur apabila filem itu akhirnya ditayangkan juga selepas hampir tiga tahun menunggu.

"Saya hampir putus asa berharap filem ini akan ditayangkan kerana apabila saya bertanya mengenai filem kepada pengarah (Devan R), dia berkata tidak pasti lagi kerana proses untuk menyiapkan filem itu masih panjang.

"Saya memang nak 'profile' filem aksi oleh itu saya berharap sangat filem ini dapat ditayangkan. Bagaimanapun Devan kemudian menghubungi saya dan memaklumkan yang filem ini berkemungkinan besar boleh ditayangkan sebelum hujung tahun ini dan Alhamdulillah ia tercapai juga," ujarnya yang ditemui pada majlis tayangan perdana "KL Vampires" di mmCineplexes eCurve baru-baru ini.


Bercerita lanjut mengenai wataknya dalam filem ini sebagai Ratu Vampires iaitu Ratu Citra Sari, Raja Ilya atau nama sebenarnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad teruja apabila akhirnya diberi peluang untuk menjayakan sebuah naskhah aksi yang memerlukannya untuk melakukan babak pertarungan tanpa menggunakan 'stunt double'.

"Pihak produksi memang ada sediakan 'stunt double' untuk babak aksi, tetapi saya ambil keputusan untuk buat sendiri kerana sudah lama saya impikan berlakon dalam filem aksi, jadi selagi babak aksi itu saya boleh buat pasti saya akan lakukan sendiri."

Tambah pelakon "Soulmate Hingga Jannah" ini lagi, dia juga teruja apabila dapat berlatih dan berlakon bersama dua pelakon aksi tersohor Indonesia iaitu Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman dan ia satu pengalaman yang cukup berharga buat dirinya.

Dalam pada itu, Raja Ilya memuji pengarah iaitu Devan R yang berani tampil dengan sebuah naskhah yang belum pernah dihasilkan sebelum ini dan berharap agar penonton dapat memberi sokongan.

Filem yang mengangkat tema vampires seperti filem luar negara ini bagaimanapun menyuntik elemen tempatan apabila memasukkan mitos Raja Bersiong sebagai latar belakang jalan cerita.

Selain Raja Ilya, Donny Alamsyah dan Cecep Arif Rahman, filem terbitan Cinemaya Studios Sdn Bhd ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Pablo Amirul, Ariel Zafrel, Reen Rahim, Josiah Hogan, Yuzz Mohd. Nor, Mustaqim Bahadon, Ismi Melinda, Saiful Apek dan ramai lagi.

"KL Vampires" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 14 November ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
KL Vampires (Melayu) (14 November 2019)
Soulmate Hingga Jannah (Melayu) (16 Februari 2017)
Pilot Cafe (Melayu) (30 April 2015)





Ticket Pricing Guide