Buletin
Rajkummar Rao akui sentiasa bersikap selektif


Tarikh disiarkan: 7 Ogos 2019


Rajkummar Rao teringin untuk bekerja dengan pembikin filem Dinesh Vijan dan Karan Johar.

7 Ogos – Aktor Rajkummar Rao mengakui dirinya sentiasa bersikap selektif dalam memilih watak untuk dilakonkan dalam sesebuah filem.

"Jika saya menerima apa sahaja yang ditawarkan, saya akan terlibat dengan pelbagai projek filem dalam setahun. Saya tak mahu dan tak mampu.

"Saya sering bersikap selektif dan memilih skrip dengan teliti. Apa-apa filem yang saya jayakan seperti "Made In China" atau "Turram Khan", ialah filem yang saya betul-betul tertarik," kongsinya.

Selain itu, laporan dari Times of India menyatakan Rajkummar teringin untuk bekerjasama dengan penerbit Dinesh Vijan, dalam alam sinematik komedi seram yang kini dalam pembikinannya.

Rajkummar juga mempunyai impian untuk bekerjasama dengan pembikin filem terkemuka, Karan Johar dan menganggap semua hasil karyanya hebat.


"Saya sangat menghormati dia. Saya rasa dia adalah seorang pembikin filem yang luar biasa dan teringin untuk bekerja dengannya. Sebelum ini, kami pernah berbincang mengenai beberapa perkara," tambahnya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Rajkummar dilihat sibuk mempromosikan filem "Judgementall Hai Kya" yang baru ditayangkan pada 26 Julai. Dalam filem itu, dia telah digandingkan bersama aktres Kangana Ranaut.

Di samping itu, Rajkummar juga akan membintangi filem komedi seram "Roohi Afza" bersama Janhvi Kapoor dan Varun Sharma di mana ia akan ditayangkan pada 20 Mac 2020.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: SS HOMME Pinterest)

Penulis: Nisa Irina