149 Karya Tan Sri P Ramlee kini diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

149 Karya Tan Sri P Ramlee kini diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan

Penulis: Ashraf Nasser


Walaupun sudah beratus kali menonton filem P Ramlee, namun penonton tetap akan
terkesan apabila menontonnya.

24 Apr - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengangkat 149 hasil karya Seniman lagenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee untuk diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Menurut menteri Datuk Mohamaddin Ketapi, pemilihan itu dibuat adalah bertujuan mahu menjadikan karya P Ramlee sebagai khazanah budaya negara.

"Selain gubahan lagu, dua trofi diterima Allahyarham di anugerah Festival Filem Asia Pasifik turut menjadi khazanah warisan negara iaitu Anugerah Filem Komedi Terbaik untuk filem "Madu Tiga" pada 1964 dan Anugerah Seniman Serba Boleh pada 1965.

"Penting untuk mewartakan warisan ini kerana ia mampu memberi impak positif yang melangkau pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat.

"Selain itu, hasil warisan ini dapat menjana ekonomi negara melalui produk pelancongan warisan," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Selain karya P Ramlee, sebanyak 106 butiran lain turut diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Pengiktirafan itu diberikan oleh pelbagai pihak dalam negara termasuk kerajaan negeri, agensi serta pertubuhan berkaitan.

P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah filem, pemuzik dan juga penulis lagu.

Sejak menceburkan diri dalam dunia seni, dia telah berlakon, mengarah dan menghasilkan banyak lagu yang mana sehingga kini ia masih lagi menjadi kegemaran seluruh masyarakat dalam negara tidak kira usia.

Kini pada tahun 2019, karya-karya Seniman Agung Negara masih lagi ditayangkan di kaca televisyen dan lagu-lagunya diputarkan di radio sekaligus menjadikan karya P Ramlee 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

(Sumber foto: Remaja.my)

Cinema Online, 24 Apr 2019

Waktu Tayangan