Buletin
Razaisyam Rashid: "Sembilan" lebih berat dari "Pusaka"


Tarikh disiarkan: 3 Disember 2019


Razaisyam Rashid berharap drama "Sembilan" mendapat sambutan ramai.

3 Dis – Setelah filem seram "Pusaka" berjaya mencapai kutipan lebih RM12 juta, kini pengarah dan penerbit Razaisyam Rashid tampil membawa kelainan menerusi drama bersiri seram gabungan produksi Malaysia dan Indonesia berjudul "Sembilan".

Menurut Razaisyam, drama bersiri 10 episod itu merupakan karya baru yang cuba dia terokai, iaitu mengetengahkan konsep gelap serta seram Nusantara yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.

"Memandangkan kebanyakan penonton sering memperlekehkan drama tempatan dan sudah mula bosan dengan drama berunsur cinta, jadi saya cuba membawa sesuatu yang berbeza untuk ubah industri kita.


"Kami perlukan sokongan penonton untuk terus menerbitkan drama sebegini. Jika tiada sambutan, tiada guna untuk kami meneruskannya kerana kami menjalankan tanggungjawab mengikut kehendak penonton," ujarnya yang ditemui di tayangan media "Sembilan" di MBO Cinemas The Starling Mall, Petaling Jaya, semalam.

Tambah pengarah filem "CEO" ini juga, "Sembilan" merupakan satu naskhah yang berat untuk diarahkan kerana ia sarat dengan babak mendebarkan, aksi suspen dan ganas serta diselitkan dengan pergolakan emosi, pengorbanan dan kekeluargaan.

"Sejujurnya naskhah ini agak berat untuk saya arahkan berbanding filem "Pusaka". Saya rasa "Pusaka" macam tidak ada cabaran langsung, tetapi dengan "Sembilan", agak sukar kerana ia banyak menguji minda.

"Saya perlu mengkaji skrip dan jalan cerita betul-betul dan ia sesuatu yang boleh dikatakan mencabar bagi saya. Sebenarnya, saya tidak beberapa faham apa yang para pelakon cakapkan kerana mereka bertutur dalam dialek Sarawak dan Kalimantan.

"Walau bagaimanapun, saya cuba mendalami emosi yang cuba mereka sampaikan. Ketika sesi latihan juga saya duduk berdekatan dengan pelakon dan cuba memahami percakapan mereka," katanya.

Sehubungan dengan itu, Razaisyam berharap orang ramai dapat memberi sokongan penuh dan menonton "Sembilan" kerana ia merupakan batu loncatan untuk produksi tempatan terus menghasilkan drama bersiri yang lebih hebat pada masa akan datang.

Untuk pengetahuan lanjut, penggambaran drama ini berlangsung selama 74 hari di sekitar Kampung Orang Asli Kuala Boh (Cameron Highlands), Sungai Lembing (Pahang), Lembah Klang dan Studio Pinewood Iskandar (Johor Bahru).

"Sembilan" membariskan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Azhan Rani, Sara Ali, Luqman Hafidz, Atiqah Hasiholan, Bima Azriel, Endhita Wibisono dan Roy Marten.

Jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri seram "Sembilan" yang bakal ditayangkan bermula 6 Disember ini menerusi saluran dan aplikasi Astro GO secara percuma.

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Filem Berkaitan:
Pusaka (Melayu) (31 Oktober 2019)
One Two Jaga (Melayu) (6 September 2018)
CEO (Melayu) (12 Jun 2014)





Ticket Pricing Guide