Buletin
Remo D'Souza ingin pelbagaikan genre filem arahannya


Tarikh disiarkan: 19 November 2019


Remo D'Souza tegaskan dia tidak terikat dengan sebarang kelebihan tertentu
untuk mengarah filem.

19 Nov – Pengarah Remo D'Souza mengakui berasa kesal atas kenyataan yang dibuat oleh beberapa pihak yang mengatakan dia hanya sesuai untuk mengarah filem berdasarkan tarian seperti filem barunya "Street Dance 3D".

"Saya rasa orang ramai hanya ingin saya mengarah filem tarian. "A Flying Jatt" merupakan filem yang dekat dengan hati saya namun ia tidak berjaya dan ini adalah sebahagian daripada industri.

"Ada sesetengah pihak yang mengatakan mengarah filem "A Flying Jatt" dan "Race 3" bukanlah kelebihan saya. Macam mana anda boleh tentukan ia bukan kelebihan saya? Seorang pengarah tidak terikat dengan sebarang kelebihan tertentu.


"Seorang pengarah boleh mengarah apa jua jenis filem, dan jika ia tidak berjaya tidak bermakna ia bukan kelebihannya. Orang ramai percaya saya bagus dalam mengarah filem tarian kerana saya mempunyai banyak pengetahuan tentangnya," katanya.

Seperti yang dilaporkan oleh The Indian Express, sebelumnya, filem "A Flying Jatt" lakonan Tiger Shroff dan "Race 3" lakonan Salman Khan tidak berjaya mendapat kutipan tinggi walaupun kedua-duanya dibintangi aktor hebat dan terkenal.

Bercakap mengenai filem "Street Dance 3D", pengarah itu memberitahu dia sangat berpuas hati dengan bintang utama filem, Varun Dhawan dan Shraddha Kapoor, atas hasil kerja dalam menjayakan watak masing-masing.

Sesi penggambaran telah selesai dijalankan dan kini mereka sedang melaksanakan proses pos produksi yang akan mengambil masa kerana ia akan ditayangkan dalam bentuk 3D.

Treler filem itu akan dilancarkan pada Disember ini dan "Street Dancer 3D" bakal menemui penonton di pawagam pada 24 Januari 2020.

(Sumber foto: Remo D'Souza Twitter)

(Sumber artikel: The Indian Express)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide