Buletin
"Remp-It 2" akan dibikin atas permintaan ramai


Tarikh disiarkan: 18 Jun 2019


Salah satu babak dalam filem "Remp-It" menampilkan Zul Huzaimy sebagai
Spark dan Farid Kamil sebagai Madi.

18 Jun – Pelakon dan pengarah Zul Huzaimy memberitahu yang dia bakal menghasilkan filem sekuel "Remp-It" yang pernah mencetuskan fenomena kira-kira 13 tahun lalu.

Menurut Zul, dia nekad untuk hasilkan "Remp-It 2" ini selepas mendapat permintaan ramai yang mahu filem sekuel filem itu dihasilkan.

"Saya kini menumpukan sepenuh perhatian menghasilkan filem sekuel "Remp-It" dengan judul "Remp-It 2". Impak daripada filem pertama sangat kuat sehinggakan peminat masih bertanya mengenai sekuel filem ini.

"Saya sendiri akan terbabit dalam filem ini menerusi watak Spark dan bertindak sebagai pengarah. Terdapat pelbagai kelainan yang akan diketengahkan dalam sekuel filem itu nanti. Permintaan terhadap filem permotoran jalanan ini tinggi.


"Jadi saya tidak mahu melepaskan peluang dan akan memastikan filem ini berjaya," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Tambah Zul lagi, jika peminat yang masih ingat babak akhir dalam filem itu meninggalkan banyak persoalan kepada ramai dan ingin tahu apa yang berlaku selepas Madi meninggal dunia.

Berikutan itu, dia kini sedang giat mendapatkan persetujuan daripada pelakon-pelakon asal untuk buat kemunculan semula dalam filem sekuel ini selain mencari pelakon utama baru bagi menggantikan Madi yang dilakonkan oleh Farid Kamil.

Dalam pada itu ditanya mengenai hak cipta filem itu yang sebelum ini diterbitkan oleh MIG Production dan diarahkan oleh Ahmad Idham, Zul berkata dia sudah bertemu dengan Ahmad Idham dan mendapat lampu hijau untuk menghasilkan filem sekuel itu.

Terdahulu, filem yang dibintangi oleh Zul, Farid Kamil, Cat Farish, Aqasha, Julia Hana dan ramai lagi telah mendapat kutipan pecah panggung iaitu kira-kira RM4 juta ketika ditayangkan pada tahun 2006.

(Sumber foto: Kakimuvee)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
REMP-IT (Melayu) (10 Ogos 2006)