Buletin
Remy Ishak dedah cabaran berlakon filem "Dendam Pontianak"


Tarikh disiarkan: 15 Ogos 2019


Remy Ishak akui berasa sedikit gementar apabila digandingkan dengan Nur Fazura.

15 Ogos – Pelakon Remy Ishak memberitahu dia bersetuju untuk membintangi filem seram terbaru "Dendam Pontianak" kerana tertarik dengan skrip yang menarik serta ia mempunyai barisan pelakon yang hebat.

Menurut Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, cabaran yang dihadapi untuk filem kali ini agak berbeza kerana ia adalah hasil gabungan idea daripada dua orang pengarah yang berbangsa Cina.

"Jika dibandingkan filem ini dengan filem seram Melayu yang pernah dilihat sebelum ini, memang agak berbeza kerana sudut pandangan mereka juga berbeza.


"Jadi pada minggu pertama penggambaran itu ada beberapa perkara yang saya rasa mencabar kerana perlu menggambarkan sesuatu idea berlainan yang datang dari mereka," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media filem "Dendam Pontianak" di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada Rabu.

Selain itu, Remy berkata cabaran lain yang dihadapinya adalah untuk mengawal emosi yang ditonjolkan oleh watak kerana pengarah tidak mahu penonton 'membenci' watak yang dibawanya.


Remy Ishak bersama pelakon utama "Dendam Pontianak" yang hadir di
sidang media filem tersebut di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Remy mengakui bahawa dia berasa agak kekok dan gementar apabila digandingkan buat pertama kali bersama Nur Fazura dalam filem seram baru "Dendam Pontianak".

Tambahnya lagi, dia menghormati Fazura sebagai pelakon yang lebih berpengalaman serta menjaga sensitiviti memandangkan pelakon itu sudah berumah tangga.

"Kami ada berbincang dengan pengarah untuk menjayakan beberapa babak romantik yang perlu kami lakonkan dan elemen apa yang sesuai untuk diselitkan terutama ketika babak terakhir dalam filem," katanya.

Menerusi filem itu, Remy menjayakan watak bernama Khalid, pemuda kampung yang dihantui oleh Pontianak yang ingin membalas dendam kerana tragedi masa silamnya.

Selain Remy dan Fazura, filem "Dendam Pontianak" turut dibintangi oleh pelakon seperti Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Namron, Tony Eusoff, Nadiah M. Din dan Nadia Aqilah.

Filem itu akan ditayangkan di Malaysia pada 12 September sementara di Singapura pada 29 Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Remy akan membintangi filem aksi yang mengetengahkan tema sukan 'Mixed Martial Arts' (MMA) berjudul Sangkar di mana dia digandingkan dengan Zul Ariffin dan Mira Filzah.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Dendam Pontianak (Melayu) (12 September 2019)
Sangkar (Melayu) (29 Ogos 2019)
Bu (Melayu) (11 April 2019)