Iklan raya beri impak besar pada Fiza Thomas | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Iklan raya beri impak besar pada Fiza Thomas

Penulis: Nisa Irina


Kegagalan bukan penghalang Fiza Thomas untuk terus mencuba.

13 Jun – Ternyata iklan raya PETRONAS "Rendang SoRaya" yang ditayangkan sempena Syawal lalu berjaya memberi impak besar kepada bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2016, Fiza Thomas.

Watak Soraya yang dibawa oleh pemilik nama sebenar Nur Hafizah Longkip @ Thomas ini berjaya membuatkan segelintir penonton mengalirkan air mata.

Fiza mengakui selepas tamat program AF 2016, dia pernah menghadiri beberapa sesi uji bakat lakonan namun tidak berhasil.

Bagaimanapun, kegagalan itu tidak menghalangnya untuk terus berusaha kerana dia percaya rezeki itu ada di mana-mana.

Sejak "Rendang SoRaya" disiarkan, Fiza berkata dia telah menerima banyak tawaran berlakon termasuk iklan daripada syarikat produksi.

"Saya menerima tawaran untuk berlakon dalam iklan terbabit menerusi seorang teman. Saya sendiri tak sangka watak Soraya menyebelahi diri ini. Hakikatnya, saya memang ternanti-nantikan peluang untuk berlakon dalam iklan syarikat gergasi berkenaan.

"Justeru, apabila peluang sudah berada dalam genggaman, saya memanfaatkannya dengan sebaik mungkin, sekali gus berharap ia dapat membuka mata orang ramai terhadap bakat saya miliki," katanya menerusi laporan yang dipetik dari BHOnline.

Iklan itu merupakan sebuah filem pendek yang mengetengahkan tema kekeluargaan serta kemasyarakatan pelbagai kaum di Malaysia menjelang hari raya.

Menerusi iklan itu, watak Soraya adalah seorang tukang masak pelatih yang berusaha untuk mempelajari cara memasak resepi rendang istimewa arwah ibunya.

Fiza pernah membintangi drama bersiri "Bini Aku Dari Neraka" yang menampilkan pelakon seperti Aiman Hakim Ridza dan Sharifah Sakinah.

(Sumber foto: Fiza Thomas Instagram)

Cinema Online, 13 Jun 2019

Waktu Tayangan