Buletin
"Roh Fasik" bukan "Munafik" versi Indonesia


Tarikh disiarkan: 29 Mei 2019


Pengarah Ubay Fox bersama barisan pelakon "Roh Fasik" iaitu Denira Wiraguna, Irwansyah dan Zaskia Sungkar.

29 Mei – Pengarah filem seram "Roh Fasik" Ubay Fox mendedahkan kejayaan filem seram "Munafik" dan "Munafik 2" membuatkan dia lebih bersemangat untuk merealisasikan skrip filem seram berunsurkan Islamik yang sudah lama disimpannya sebelum ini.

Menurut Ubay, dia sudah mempunyai skrip filem seram "Roh Fasik" ini beberapa tahun yang lalu namun gagal untuk mendapatkan penerbit berikutan ramai yang tidak yakin dan berani untuk menghasilkan filem seram yang melibatkan elemen Islamik.

"Saya sudah lama ingin hasilkan filem seperti ini namun ketika itu tidak ada penerbit yang berani untuk hasilkan filem seram seperti ini kerana bimbang ia melibatkan agama dan sekiranya ada kesilapan terutama dari segi bacaan ayat Al-Quran mahu pun perkara lain ia akan menjadi isu panas.

"Bagaimanapun, selepas melihat pengarah berbakat besar dari Malaysia, Syamsul Yusof tampil dengan filem seram "Munafik" dan "Munafik 2" yang berjaya mendapat sambutan cukup memberangsangkan di Malaysia dan Indonesia, saya semakin bersemangat.

"Saya sekali lagi mencuba nasib membentangkan skrip saya kepada penerbit dengan memberikan contoh kejayaan filem "Munafik", akhirnya impian untuk hasilkan filem ini tercapai," ujarnya yang ditemui pada sidang media "Roh Fasik" yang berlangsung di mmCineplexes eCurve, semalam.


Dalam pada itu, ditanya mengenai beberapa babak dalam filemnya dilihat sama seperti beberapa babak dalam "Munafik" dan "Munafik 2", Ubay mengakui dia ada mengambil inspirasi dari filem arahan Syamsul untuk dimasukkan ke dalam filemnya.

Tambahnya lagi, dia sangat menghormati Syamsul yang digelarnya sebagai gurunya dalam dunia pengarahan oleh itu dia masukkan beberapa babak sama seperti filem seram dari Malaysia itu sebagai penghormatan.

Pada masa sama dia juga tidak kisah sekiranya ada penonton yang mengatakan "Roh Fasik" adalah "Munafik" versi Indonesia kerana filemnya menampilkan jalan cerita yang cukup berbeza.

Ubay melihat segala kritikan atau apa sahaja yang diperkatakan mengenai filemnya itu dari sudut positif yang mana ia seperti promosi filem secara percuma dan ini akan membuatkan orang ramai akan menonton filem itu bagi mendapatkan kepastian samada betul atau tidak seperti yang didakwa.

Filem terbitan RA Pictures dengan kerjasama Antenna Entertainments ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Irwansyah, Evan Sanders, Denira Wiraguna, Zaskia Sungkar, Nagita Slavina dan ramai lagi.

"Roh Fasik" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 6 Jun ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide