Buletin
Rosyam Nor: "Motif" sebuah karya yang matang


Tarikh disiarkan: 20 September 2019


Rosyam Nor akui tak menyesal berlakon filem "Motif".

20 Sep – Jika sebelum ini pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor dikenali dengan filem-filem aksi, kini dia menambah cabang genre dalam lakonannya menerusi sebuah filem thriller misteri terbaru, "Motif".

Dedah Rosyam, ketika ditawarkan untuk menerajui filem itu, dia telah menolaknya sebanyak dua kali kerana ingin meneruskan impiannya untuk berlakon filem-filem komersial dan aksi memandangkan usianya sudah mencecah 52 tahun.

Walau bagaimanapun, dia akhirnya bersetuju untuk menerima tawaran tersebut selepas dipujuk beberapa kali dan memuji bakat pengarah, Nadiah Hamzah, dalam menghasilkan sebuah karya yang begitu matang dan berkualiti.


"Alhamdulillah, ini rezeki saya untuk bekerja dengan seorang pengarah wanita yang hebat seperti Nadiah. Saya nampak idea yang ingin ditampilkan dalam filem ini agak berlainan berbanding filem-filem yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

"Jika dilihat, jalan cerita dalam filem ini disusun dengan rapi. Ianya begitu matang untuk sebuah karya yang pertama. Saya berasa bernasib baik dan bangga kerana dapat berlakon dalam filem ini. Saya rasa saya akan menyesal jika tidak menerima tawaran ini.

"Saya pasti penonton tidak akan berasa rugi menonton "Motif" kerana ia banyak menonjolkan realiti kehidupan dalam dunia sebenar," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media selepas tayangan perdana filem "Motif" di mmCineplexes eCurve, Damansara semalam.


Penerbit, pengarah, serta barisan pelakon yang hadir di malam gala tayangan perdana filem "Motif".

Menurut Rosyam, dia begitu tertarik dengan wataknya kerana penonton tidak dapat meneka siapa antagonis sebenar sehingga ke penghujung filem tersebut.

"Saya suka kerana boleh membolehkan penonton berfikir dan berasa keliru dalam mereka menilai watak saya sebagai Hussein.

"Biasanya penonton melihat saya memegang watak antagonis yang memerlukan pergerakan fizikal, tetapi untuk "Motif", saya bawakan watak yang bermain dengan emosi," tambahnya lagi.

Menarik lagi, ini merupakan julung kalinya Rosyam akan dilihat berkongsi skrin lebar dengan pelakon Sharifah Amani atau Nani, yang memegang watak sebagai Inspektor Dewi.

Selain Rosyam dan Nani, filem itu turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Taqim Zaki, Emma Tosh, Azhan Rani, Fadhli Masoot, Khayrani Kemal dan Sharmin Edora.

Diterbitkan oleh Wayangworks, filem "Motif" bakal menjengah penonton di pawagam bermula 26 September ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Motif (Melayu) (26 September 2019)
Misteri Dilaila (Melayu) (21 Februari 2019)
Lee Chong Wei (Mandarin) (15 Mac 2018)





Ticket Pricing Guide