Buletin
Salman Khan sah tarik diri dari "Inshallah"


Tarikh disiarkan: 20 September 2019


Salman Khan dikatakan menarik diri kerana enggan melakonkan babak intim bersama Alia Bhatt.

20 Sep – Kenyataan bintang terkenal Salman Khan mengenai penarikan dirinya dari filem yang dinanti ramai, "Inshallah", baru-baru ini ternyata menyebabkan kekecewaan ramai peminat.

Salman telah membuat pengumuman tersebut kepada pihak media ketika sesi temu bual di acara Anugerah Akademi Filem India Antarabangsa (AAFIA) 2019 yang diadakan di Mumbai pada Rabu.

Bagaimanapun, aktor itu memberitahu filem arahan Sanjay Leela Bhansali berkenaan masih akan diteruskan namun ditangguhkan buat sementara bagi memberi ruang kepada pihak produksi untuk mencari pengganti baru.


"Inshallah" masih akan diteruskan tetapi bukan dengan saya," jelasnya ringkas menerusi laporan yang dipetik dari Hindustan Times. Menerusi filem itu, Salman sepatutnya digandingkan dengan aktres Alia Bhatt.

Lantaran itu, terdapat segelintir pihak yang membuat spekulasi bahawa Salman menarik diri kerana enggan melakonkan babak intim bersama aktres yang jauh lebih muda daripadanya.

Namun begitu, satu sumber terdekat telah menafikan perkara itu dengan mengatakan Bhansali dan Salman sudah lama bekerjasama.

Bhansali sedia tahu bahawa Salman tidak akan bersetuju melakonkan babak itu dan filem tersebut ditangguhkan atas sebab lain.

Dalam pada itu, terdapat laporan baru mengatakan aktor Hrithik Roshan mungkin akan menggantikan tempat Salman namun perkara itu masih belum mendapat pengesahan dari pihak produksi.

(Sumber foto: The Independent)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Penulis: Nisa Irina