Buletin
Sanaya Irani buat debut di layar perak dalam filem "Ghost"


Tarikh disiarkan: 19 September 2019


Sanaya Irani teruja mempromosikan filem debut Bollywoodnya kepada para peminat.

19 Sep– – Aktres televisyen terkenal Sanaya Irani bakal membuat debut di layar perak apabila dipilih untuk membintangi sebuah filem seram berjudul "Ghost".

Sebagai tujuan mempromosikan filem debutnya, Sanaya telah berkongsikan poster filem arahan Vikram Bhatt itu menerusi laman sosial pada hari ulang tahun kelahirannya.

Sanaya yang baru sahaja pulang dari London, United Kingdom, selepas selesai penggambaran filem itu akan menggalas watak seorang peguam bela bernama Simran Singh.

Aktres itu akan digandingkan dengan aktor Shivam Bhargav sebagai Karan Khanna, seorang ahli politik India yang berpangkal di United Kingdom, dituduh membunuh isterinya.

Namun, dia menafikan perkara itu di mahkamah dan memberitahu peguamnya bahawa satu roh jahat yang telah melakukan pembunuhan tersebut.


Dalam pada itu, Bhatt mendedahkan dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan filem itu dari sebuah artikel akhbar mengenai sebuah mahkamah British yang membenarkan perbicaraan kes melibatkan makhluk halus.

"Saya tertarik kepada artikel itu kerana ia membangkitkan satu soalan menarik: Bagaimanakah seseorang itu cuba membuktikan kewujudan makhluk halus dalam mahkamah?

"Saya tahu ia sukar bagi kebanyakan orang untuk mempercayai dunia ghaib, tetapi berdasarkan pengalaman saya percaya ia wujud dan ia adalah satu realiti," ujarnya yang dipetik dari Firstpost.

Diterbitkan oleh Vashu Bhagnani, filem "Ghost" akan menghantui penonton di pawagam bermula 18 Oktober ini.

(Sumber foto: Sanaya Irani Instagram)

(Sumber artikel: Firstpost)

Penulis: Nisa Irina