Buletin
Sangeeta Krishnasamy harap "Adiwiraku 2" beri impak terhadap sukan


Tarikh disiarkan: 19 Jun 2019


Lakonan pelakon muda "Adiwiraku 2" berjaya menarik perhatian Sangeeta Krishnasamy.

19 Jun – Setelah filem "Adiwiraku" berjaya memberi impak positif kepada para penonton, pelakon Sangeeta Krishnasamy berharap sekuel "Adiwiraku 2" akan memberi impak sama dan meneruskan legasi memberi penghormatan serta menghargai pendidik.

Sangeeta berharap filem ini memberi impak besar terhadap pendidikan sukan di Malaysia.

"Sejujurnya pada pendapat saya, sejak 15 ke 20 tahun lepas, kepentingan bersukan dilihat semakin berkurang. Malah semasa di sekolah, ada di antara kami yang ingin bermain hoki tetapi tidak digalakkan kerana tiada kelab hoki ditubuhkan.

"Saya berharap filem ini boleh memberi sedikit kesedaran terhadap perkara itu; kepentingan sukan di sekolah," ujar Sangeeta ketika ditemui Cinema Online di set penggambaran "Adiwiraku 2" di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Penggambaran sekuel selama tiga hari itu berakhir pada awal bulan Jun di Institusi Victoria, selepas selesai penggambaran selama 23 hari di Felda Bukit Rokan, Gemencheh di mana kisah benar filem itu berlaku.

Filem itu menceritakan kisah Cikgu Azman (Pekin Ibrahim) yang memperkenalkan sukan kriket kepada sekumpulan pelajar sekolah, menjadikan mereka anak muda yang membesar menjadi pemain kriket yang mengharumkan negara.


Sangeeta Krishnasamy di set penggambaran "Adiwiraku 2".

Bertindak sebagai penerbit eksekutif dalam filem terbaru ini di bawah ketua penerbit eksekutif Khairul Anuar Latip, Sangeeta turut bertindak sebagai pengarah untuk mengarah di sebalik tabir pembikinan filem yang akan digunakan untuk pemasaran filem itu.

"Kami menemu bual orang kampung dan berbual dengan mereka. Mengapa? Kerana kami ingin mereka tahu terlebih dahulu sebelum menonton filem itu, di mana kami menjalankan penggambaran, siapa orang-orang kampung, apa kisah disebalik kampung itu? Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman tersebut," jelas Sangeeta berkenaan kerjanya di sebalik tabir.

Walaupun tidak akan membuat kemunculan dalam sekuel yang akan ditayangkan pada Mac 2020 itu, dia berharap penonton "Adiwiraku 2" bukan hanya tahu bahawa Malaysia telah memenangi pingat emas dalam pertandingan kriket di Sukan SEA 2017, malah tahu bagaimana usaha atlet-atlet kebangsaan berjaya melayakkan diri sehingga ke tahap itu.

Penulis: Florey DM

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Filem Berkaitan:
Adiwira Ku (Melayu) (9 Mac 2017)





Ticket Pricing Guide