Buletin
"Sangkar" bukan sekadar pertarungan


Tarikh disiarkan: 17 Julai 2019


Penerbit-penerbit filem bersama barisan pelakon "Sangkar" dan atlet MMA ketika hadir pada pelancaran filem semalam.

17 Jul – Filem yang paling dinanti-nantikan untuk tahun ini iaitu "Sangkar" akhirnya bakal menemui penonton tidak lama lagi. Ia bukan sahaja bakal menjadi filem terbesar tetapi lebih menakjubkan adalah ia menyaksikan kolaborasi antara empat gergasi tanah air iaitu Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan mm2 Entertainment.

"Sangkar" juga merupakan filem tempatan pertama yang mengetengahkan tema sukan Mixed Martial Arts (MMA).

Menurut Gayatri Su-Lin Pillai daripada Infinitus Gold, filem "Sangkar" bukan sahaja mengenai pertarungan hebat sahaja sebaliknya turut mempunyai banyak elemen lain untuk tontonan semua orang tanpa mengira usia.

"Ya filem ini memang menggunakan latar belakang sukan MMA tetapi ia bukanlah sekadar filem aksi sukan ini sahaja tetapi ia juga mempunyai elemen drama dan sedikit kisah cinta. Selain itu, filem ini turut mempunyai banyak pengajaran yang mana ia menceritakan seseorang cuba menebus dosa silamnya," ujarnya yang ditemui pada pelancaran "Sangkar" di Battle Arena Jaya Shopping Mall semalam.


Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Arshad pula berkata dia yakin kolaborasi ini mampu mencipta sejarah baru dalam industri perfileman tanah air.

"Dengan gabungan pengalaman dan kepakaran kreatif yang ada pada setiap pihak, ia mampu memberi kelebihan pada projek ini dalam menghasilkan sebuah filem yang berkualiti tinggi dan tampil dengan rangka pemasaran yang meluas."

Diarahkan oleh pengarah tersohor tanah air iaitu Kabir Bhatia, filem aksi ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Adam Mika, Fadlan Hazim, Aman Graseka, Carliff Carleel dan Andy Teh.

Selain itu, atlet MMA Saiful Merican, James 'Sledgehammer', Rashid Salleh, Peter Hugh Davis dan Terry Gallyot turut tampil dalam filem ini.

"Sangkar" akan menemui penonton di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei pada 29 Ogos depan.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Sangkar (Melayu) (29 Ogos 2019)