Buletin
Filem "Sangkar" bakal ada sekuel?


Tarikh disiarkan: 22 Ogos 2019


Barisan pelakon dan pengarah filem "Sangkar" bersama pihak produksi Astro Shaw,
Primeworks Studios, Infinitus Gold serta mm2 Entertainment.

22 Ogos – Malaysia bakal digegarkan dengan sebuah filem bertemakan sukan 'Mixed Martial Arts' (MMA) pertama arahan pengarah hebat Kabir Bhatia berjudul "Sangkar".

Projek filem mega ini merupakan kerjasama sulung antara empat buah syarikat produksi iaitu Astro Shaw, Primeworks Studios, Infinitus Gold serta mm2 Entertainment.

Menurut Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios merangkap penerbit eksekutif "Sangkar", Nor Shahila Harun Shah, dia berharap dengan terhasilnya sebuah filem hebat hasil kerjasama empat buah syarikat itu, ia dapat menerima sambutan yang menggalakkan daripada penonton.


"Saya harap orang ramai boleh menguar-nguarkan filem ini kerana ia mempunyai barisan pelakon yang hebat, jalan cerita yang penuh dengan emosi serta bertemakan aksi, keinsafan, kekeluargaan dan persahabatan. Saya pasti orang ramai akan terhibur dengan filem ini

"Jika kutipan filem ini mencecah angka yang tinggi di luar jangkaan kami dan mendapat sambutan penonton, InsyaAllah kami akan menghasilkan sekuel," ujarnya yang ditemui di acara malam gala tayangan perdana dan majlis sidang media filem "Sangkar" di mmCineplexes eCurve Damansara semalam.


Filem "Sangkar" menampilkan pelakon utama iaitu Zul Ariffin, Mira Filzah dan Remy Ishak.

Sementara itu, Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw Sdn. Bhd. & Nusantara, Raja Jastina Arshad berkata, pihak Astro Shaw telah mengadakan kempen mempromosikan filem "Sangkar" yang mengangkat tema 'Bukan Sekadar Pertarungan'.

Pihak produksi juga bakal mengadakan siri jelajah "Sangkar" di Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada 30 Ogos sementara di Johor dan Melaka bermula dari 6 hingga 8 September. Ia kemudian diteruskan di Lembah Klang dan Selangor pada 14 dan 15 September.

Acara pembukaan malam gala tayangan perdana itu turut dimeriahkan lagi dengan persembahan daripada penyanyi rap terkenal, Aman RA, yang menyanyikan lagu tema filem "Sangkar" berjudul "Fighter".

"Sangkar" mengisahkan tentang atlet MMA, Adam, yang ingin menebus kesalahannya terhadap Johan yang cedera parah akibat perlawanan mereka di luar gelanggang. Adam perlu bertarung dan memenangi pertandingan MMA bagi mendapatkan habuannya untuk membantu Johan sekeluarga.

Filem itu menampilkan barisan pelakon hebat tanah air iaitu Zul Ariffin, Mira Filzah, Remy Ishak, Aman Graseka, Carliff Carleel, Nik Adam Mika, Ray Era, Fadlan Hazim dan Andy Teh. Atlet MMA antarabangsa, James "Sledgehammer" McSweeney turut membuat penampilan khas sebagai dirinya sendiri dalam filem tersebut.

"Sangkar" bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Ogos ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Sangkar (Melayu) (29 Ogos 2019)