Buletin
Sanjay dan Maanayata Dutt kian selesa bekerja sebagai penerbit


Tarikh disiarkan: 11 September 2019


Pasangan Sanjay dan Maanayata Dutt ingin terbit lebih banyak filem pada masa akan datang.

11 Sep – Aktor veteran Sanjay Dutt mendedahkan bahawa dia kian selesa bekerjasama dengan isteri Maanayata Dutt sebagai penerbit filem.

Menerbit filem merupakan satu langkah besar dalam karier Sanjay dan 'remake' filem Telugu mereka yang pertama, "Prasthanam", merupakan permulaan bagi pasangan itu untuk meneruskan usaha mereka pada masa akan datang.

"Terdapat sebuah filem komedi Punjabi yang akan dijalankan pada pertengahan November. Ia akan difilemkan di Punjab dan dibahagikan kepada tiga jadual selama 55 hari.

"Selain itu, Habib Faisal akan mengarahkan sebuah filem bertemakan kehidupan pada awal Januari. Kami juga telah mengambil seorang lagi pengarah, Mudassar Aziz," kata Maanayata menerusi laporan yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Bercakap mengenai pembabitan sebagai penerbit di bawah syarikat produksi Sanjay Dutt Productions, mereka mengakui perkara itu telah mengubah sedikit sebanyak kehidupan peribadi mereka.


"Kami perlu mengikut arus masa dan membuat perubahan untuk terus membangun. Anak-anak kini sibuk dengan aktiviti sekolah jadi mereka tidak punyai banyak masa dengan kami. Jadi saya fikir, lebih baik kami sibukkan diri dengan perkara lain," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Sanjay juga bercadang untuk mengembangkan lagi karier sebagai pengarah dan penulis kerana ingin menyampaikan kisah-kisah yang hanya diketahui oleh dirinya.

Bagaimanapun, menurutnya perkara itu memerlukan masa maka dia terpaksa menangguhkan niat untuk menulis buat seketika memandangkan jadualnya padat dengan beberapa buah projek filem.

Sanjay bakal membintangi filem-filem seperti "Shamshera", "Panipat", "Prithviraj Chauhan", "Bhuj: The Pride of India", "KGF 2", "Sadak 2" serta sebuah projek baru bersama pembikin filem Vikas Bahl.

(Sumber foto: Sanjay Dutt Instagram)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide