Buletin
Semangat 'brotherhood' diteruskan dalam "Bikers Kental 2"


Tarikh disiarkan: 21 Februari 2019


Penerbit bersama barisan pelakon "Bikers Kental 2".

21 Feb - Selepas enam tahun filem pertama ditayangkan, filem 'road trip' "Bikers Kental 2" akhirnya bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Filem terbaru arahan Helmi Yusof ini masih lagi mengetengahkan gaya hidup kumpulan 'bikers' yang mana ia memperlihatkan semangat 'brotherhood' mereka yang cukup kuat di antara satu sama lain.

Menurut penerbitnya Kamal Akram Ibrahim, pembikinan filem sekuel ini menggabungkan elemen-elemen di dalam dunia permotoran di Malaysia, selain turut mengetengahkan keindahan budaya serta destinasi-destinasi menarik di sekitar Thailand.

"Kami mahu menarik minat, terutama sekali dari kalangan komuniti bikers dan peminat sukan permotoran.


"Aksi mendebarkan yang lagi menyentuh perasaan mengikuti Bidin Al Zaifa dan Eddie pastinya menjadi tumpuan berserta dengan kisah bagaimana mereka menyelesaikan masalah baru dan lama," ujarnya yang ditemui pada sidang media "Bikers Kental 2" yang berlangsung di The Gasket Alley, Petaling Jaya, semalam.

Filem terbitan MRB Network Sdn Bhd dengan kerjasama Califworks Studio Sdn Bhd dan TGV Pictures Sdn Bhd ini masih mengekalkan pelakon asal seperti Zizan Razak, Dato' Awie, Bront Palarae, Amerul Affendi, Julangtip Sukkasem serta beberapa muka baru seperti Dato' Afdlin Shauki dan Pont Cranium.

Filem ini berkisarkan mengenai Bidin Al Zaifa yang mahu melamar kekasih lamanya Cherry Porntit yang berasal dari Thailand. Namun ketika berada di sana, dia bertembung dengan musuh lamanya yang masih mencarinya sejak dari insiden yang berlaku sebelum ini. Malah keadaan menjadi buruk apabila abang kekasihnya yang juga merupakan juara Muay Thai tidak merestui hubungan mereka.

Rakan baik Zaifa iaitu Eddie yang mengetahui situasi sukar yang berlaku terhadap Bidin telah mengambil keputusan untuk 'ride' ke Thailand bersama Aidid untuk membantu Bidin yang memerlukan bantuan.

"Bikers Kental 2" akan menemui penonton di seluruh negara bermula 14 Mac ini.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: