Shaheizy Sam mahu rehat dari berlakon seketika | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Shaheizy Sam mahu rehat dari berlakon seketika

Penulis: Nisa Irina


Shaheizy Sam cabar peminat untuk sama-sama turunkan berat badan dan jaga kesihatan.

21 Jun – Pelakon Shaheizy Sam kini sedang berehat dari dunia lakonan untuk memberi fokus tentang penjagaan kesihatan serta ingin memulakan diet.

"Saya sekarang memang sedang bercuti daripada sebarang kerja lakonan. Jadi, apabila banyak masa rehat, selera makan pun bertambah. Dalam almari pakaian saya, 90 peratus baju lama memang dah tak muat.

"Jadi, bulan depan insya-Allah, saya akan mula bersenam semula dan cuba untuk turunkan berat badan," katanya menerusi laporan dari HarianMetro.

Sam berkata sejak berat badannya naik, dia senang berasa mengah, mengalami sakit kepala dan migrain, batuk serta yang paling ketara adalah sakit lutut.

Pelakon filem "Polis EVO" ini turut berterima kasih kepada para peminat yang sering menasihatinya untuk menjaga kesihatan di laman Instagram.

Dalam pada itu, Sam turut mengajak semua peminatnya sama-sama cabar diri untuk bersenam serta menurunkan berat badan.

Menurut Sam, dia akan cuba bekerja keras dalam tempoh dua atau tiga bulan bagi mendapatkan kembali berat badan yang ideal seperti sebelumnya, iaitu semasa penggambaran "Polis EVO 2".

Buat masa sekarang, pelakon berusia 37 tahun ini menganggap penampilan bukanlah perkara utama, sebaliknya kesihatan dirinya.

Beralih kepada soal lakonan, Sam akan dilihat dalam sebuah filem adaptasi kisah benar berjudul "Dawn Raid: The Hand That Rattled The Queen" yang sehingga kini masih belum diketahui bila ia akan ditayangkan.

Filem arahan Bront Palarae itu mengisahkan bagaimana sekumpulan anak Melayu yang melancarkan gerakan sulit untuk mendapatkan semula tanah-tanah yang dipegang oleh Inggeris selama lebih 100 tahun.

Disertai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, mereka melancarkan 'serangan' ke atas saham perladangan Guthrie di London pada waktu fajar 7 September 1981, untuk mengambil alih pemilikan itu secara mengejut.

(Sumber foto: Shaheizy Sam Instagram)

Cinema Online, 21 Jun 2019

Filem Berkaitan:
Polis Evo 2 (Malay) (22 Nov 2018)
Pinjamkan Hatiku (Malay) (30 Nov 2017)
Interchange (MIFFEST) (Malay) (28 Feb 2017)



Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan