Buletin
Shahid Kapoor kesal tolak tawaran "Rang De Basanti"


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Watak Shahid Kapoor dalam "Rang De Basanti" diganti oleh Siddharth Narayan.

12 Jun – Shahid Kapoor mendedahkan bahawa dia berasa menyesal kerana menolak tawaran untuk menerajui filem "Rang De Basanti" 2006.

Menurut laporan yang dipetik dari TimesofIndia, filem itu menampilkan pelakon seperti Aamir Khan, Siddharth Narayan, Soha Ali Khan, Kunal Kapoor, R. Madhavan, Sharman Joshi, Atul Kulkarni dan aktres British Alice Patten.

Watak Karan Singhania yang sepatutnya dibawa oleh Shahid telah digantikan oleh Siddharth dan ia merupakan watak penting dalam filem tersebut.

Filem arahan Rakeysh Omprakash Mehra itu mengisahkan perubahan kehidupan dan perspektif lima orang pemuda Delhi sebaik sahaja mereka berlakon dalam sebuah filem dokumentari tentang lima orang pejuang pembebasan India.


Tambahan lagi, filem itu berjaya memenangi pelbagai anugerah besar termasuk Filem Paling Popular di Anugerah Filem Nasional dan dicalonkan sebagai Filem Bahasa Asing Terbaik di Akademi Seni Filem dan Televisyen British.

Shahid telah memenangi hati ramai peminat dengan kemahiran lakonannya sejak muncul dalam filem "Haider" di mana dia membawa watak Haider Meer.

Dalam perkembangan terbaru, Shahid sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya berjudul "Kabir Singh" yang merupakan 'remake' filem Telugu pecah panggung 2017, "Arjun Reddy".

Diarahkan oleh Sandeep Reddy Vanga, filem itu turut menampilkan Kiara Advani, Arjan Bajwa dan Suresh Oberoi sebagai watak sampingan.

"Kabir Singh" dijadual untuk ditayangkan di layar lebar bermula 21 Jun ini.

(Sumber artikel: Times of India)
(Sumber foto: DNA India)

Penulis: Nisa Irina