Buletin
Shilpa Shetty bakal kembali ke layar perak


Tarikh disiarkan: 20 Julai 2019


Shilpa Shetty telah berehat dari dunia lakonan selama hampir 12 tahun.

20 Jul – Sekian lama kelibatnya tidak tampil di layar perak, kini aktres Shilpa Shetty dilaporkan telah bersetuju untuk membintangi sebuah filem komedi terbaru.

"Shilpa akan membawa watak utama sebagai seorang penulis dalam filem ini. Selepas sebulan bercuti di London dan Greece, dia bakal pulang ke Mumbai pada awal Ogos.

"Sebaik tiba, Shilpa akan terus menjalani penggambaran dan dia amat teruja dengan penglibatannya dalam projek ini," dedah satu sumber terdekat.

Selain Shilpa, dua orang aktor yang telah menandatangani projek itu ialah Diljit Dosanjh dan Yami Gautam seperti yang dinyatakan menerusi laporan dari Mumbai Mirror.

Filem yang masih belum mempunyai judul itu menandakan debut kepada Haroon Mirza sebagai pengarah. Haroon merupakan anak kepada pembikin filem Aziz Mirza yang pernah menjayakan filem seperti "Raju Ban Gaya Gentleman" dan "Yes Boss".


Terkini, penerbit Ramesh Taurani memberitahu mereka sedang mencari seorang lagi aktres untuk ditampilkan sebagai peneraju wanita utama di samping Shilpa.

Taurani turut mendedahkan bahawa filem komedi itu berkisar mengenai kisah hidup sepasang kekasih.

Kali terakhir Shilpa dilihat berlakon adalah menerusi filem "Dostana" 2008 di mana dia turut menyumbang suara bagi lagu "Shut Up And Bounce" dalam filem tersebut.

Selepas itu, dia hanya membuat penampilan istimewa dalam lagu "Mere Type Ka Nahi" dalam filem "Dishkiyaoon" 2014 sebelum sibuk menguruskan komitmen profesional yang lain.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Shilpa Shetty Instagram)

Penulis: Nisa Irina