Buletin
Shraddha Kapoor jalani latihan Judo dan MMA untuk "Baaghi 3"


Tarikh disiarkan: 25 September 2019


Shraddha Kapoor akan menjayakan watak seorang pramugari dalam "Baaghi 3".

25 Sep – Aktres Shraddha Kapoor kembali berganding dengan aktor Tiger Shroff selepas tiga tahun menerusi filem aksi terbaru mereka, "Baaghi 3", yang mana penggambarannya telah bermula beberapa hari lalu di Mumbai.

Sehubungan dengan itu, Shraddha, yang dilihat melakonkan lagak aksi dalam "Baaghi", akan melakukan perkara sama dalam siri filem ketiga ini di mana dia perlu mahir seni bela diri Judo dan 'Mixed Martial Arts' (MMA).

"Selepas menjalani penggambaran di Mumbai, Delhi dan Agra, kami akan berangkat ke Serbia untuk menyambung jadual penggambaran selama 40 hari pada November depan.

"Tiga orang pakar aksi lagak ngeri Kecha Khampakdee, Slavisa Ivanovic dari Serbia serta seorang jurulatih dari Bulgaria akan melatih dia," dedah pengarah Ahmed Khan menerusi laporan yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Menerusi filem tersebut, Shraddha akan menjayakan watak seorang pramugari yang memerlukannya untuk menjalani beberapa bengkel latihan khas sebagai salah satu dari persediaannya.


Dalam pada itu, Tiger juga perlu mempelajari beberapa seni bela diri seperti Krav Maga, Kalaripayattu, Kung Fu, tinju dan Muay Thai selain memahirkan penggunaan senjata api bagi filem berkenaan.

Sesi penggambaran dijangka akan berakhir pada hujung tahun ini dan filem "Baaghi 3" dijangka akan menggegarkan pawagam pada 6 Mac 2020.

Beralih ke perkembangan lain, Shraddha akan bergandingan dengan aktor Varun Dhawan bagi menggantikan Katrina Kaif dalam filem arahan Remo D'Souza, "Street Dancer 3D", yang akan ditayangkan pada 24 Januari 2020.

(Sumber foto: Shraddha Kapoor Instagram)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide