Buletin
Shruti Haasan buat debut dalam siri televisyen Amerika "Treadstone"


Tarikh disiarkan: 21 Jun 2019


Shruti Haasan pegang watak sebagai pembunuh upahan yang menyamar dalam "Treadstone".

21 Jun – Shruti Haasan akan membuat debut dalam sebuah siri televisyen antarabangsa "Treadstone" dari alam sinematik Jason Bourne.

Siri 'spin-off' Bourne itu berkisar mengenai asal usul dan fungsi sebuah program CIA Black-Ops dikenali sebagai Treadstone yang melatih rekrutnya menjadi pembunuh upahan berkuasa luar biasa.

Aktres berusia 33 tahun itu membawa watak Nira Patel yang bekerja sebagai pelayan di Delhi sebagai penyamaran kerjanya sebagai pembunuh upahan terlatih.

"Semasa saya memulakan kerjaya muzik di England, saya telah menyimpan minat untuk menjadi pelakon di sana jadi saya berhubung dengan ejen di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

"Apabila saya mendapat skrip uji bakat dari pembikin program tersebut, ia telah menarik perhatian saya. Saya akan memulakan penggambaran tidak lama lagi," ujarnya menerusi laporan dari MumbaiMirror.


Tambahnya lagi, penggambaran babaknya akan dijalankan di India serta di luar negara dan ia merupakan pengalaman baru buatnya.

Skrip siri tersebut dihasilkan oleh Tim Kring, pembikin siri televisyen Amerika "Heroes". Siri "Treadstone" akan menampilkan Jeremy Irvine ("War Horse", "Great Expectations"), Brian J Smith ("Sense 8") dan Tracy Ifeachor ("Quantico").

Sebagai persediaan lakonan babak aksi, Shruti akan dihantar ke Budapest di mana dia akan menjalani beberapa latihan berat bagi siri tersebut.

Musim pertama siri tersebut akan menceritakan ejen-ejen di serata dunia di mana mereka dikejutkan secara misteri untuk meneruskan misi merbahaya.

Studio produksi siri arahan Ramin Bahrani tersebut turut mengambil khidmat seorang juruterbang pada April lalu dan projek akan bermula pada Ogos depan.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: VOGUE India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide