Buletin
Siddharth Anand rancang terbitkan francais "War"


Tarikh disiarkan: 8 Oktober 2019

Barisan peneraju utama filem "War", Hrithik Roshan, Vaani Kapoor dan Tiger Shroff.
Barisan peneraju utama filem "War", Hrithik Roshan, Vaani Kapoor dan Tiger Shroff.

8 Okt – Walaupun baru lima hari ditayangkan, namun filem gandingan aktor Tiger Shroff dan Hrithik Roshan, "War", telah berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan serta mencapai kutipan tinggi.

Sehubungan dengan berita baik itu, pengarah Siddharth Anand merancang untuk menerbitkan sebuah francais bagi filem aksi thriller tersebut memandangkan ia menerima banyak maklum balas yang positif.

"Kami memang sudah mempunyai idea untuk mengubah filem ini menjadi sebuah francais kerana sambutan penonton yang memuaskan. Nampaknya penonton meletakkan harapan yang lebih tinggi daripada kami.


"Masih terlalu awal untuk membicarakan soal ini. Kami akan membuat perbincangan tidak lama lagi sebelum membuat keputusan mengenainya," maklum Siddharth yang dilaporkan menerusi The Indian Express.

Tambahnya lagi, dia mensasarkan untuk mengangkat filem yang padat dengan aksi itu lebih jauh dan memberi pengalaman luar biasa kepada para penonton.

Dalam pada itu, dia turut menyifatkan "War" sebagai sebuah filem yang unik serta memberi penghargaan kepada seluruh pihak produksi dan para pelakon atas kerja keras yang ditonjolkan.

Selain Tiger dan Hrithik, filem itu turut dibintangi aktres Vaani Kapoor. Ia berkisar mengenai seorang tentera yang ditugaskan untuk menumpaskan bekas tentera yang juga mentornya, selepas dia berubah menjadi ganas.

Kedua-dua aktor tersebut telah menjalani jadual latihan yang padat serta melakukan lagak aksi ngeri yang dipelajari daripada sekumpulan pakar koreografi, Paul Jennings, Oh Sea Young, Parvez Shaikh dan Franz Silhaus.

(Sumber foto: Hindustan Times)
(Sumber artikel: The Indian Express)

Penulis: Nisa Irina