Buletin
Sonakshi Sinha tampil dalam lagu baru filem "Khandaani Shafakhana"


Tarikh disiarkan: 18 Julai 2019


Sonakshi Sinha akui pada mulanya dia teragak-agak untuk menerima tawaran
filem "Khandaani Shafakhana".

18 Jul – Selepas melancarkan lagu rancak bagi filem "Khandaani Shafakhana" yang dibintangi Sonakshi Sinha, kini pembikin filem sekali lagi tampil dengan lagu baru.

Kali ini, melodi lagu yang diberi judul "Dil Jaaniye" itu lebih perlahan bagi menambah suasana romantik dalam babak yang dilakonkan aktres tersebut bersama gandingannya.

Sonakshi akan dilihat membawa watak Baby yang bercinta dengan aktor Priyansh Jora dalam filem tersebut. Lokasi penggambaran lagu itu dijalankan di sebuah pasar yang sesak dengan orang ramai.


Dalam pada itu, Sonakshi turut mengakui bahawa terdapat satu babak dalam filem yang dianggap paling sukar pernah dia lakonkan.

"Saya melakonkan babak paling susah sepanjang karier saya di mana dalam filem ini, saya perlu mempromosikan klinik di tengah-tengah pasar yang sesak.

"Saya perlu menaiki sebuah basikal sambil memegang sepanduk yang tertulis perkataan 'seks' di atasnya serta menyebut beberapa masalah kesihatan dalaman yang berkaitan," ujarnya menerusi laporan dari The Indian Express.

Walaupun berasa malu untuk melakonkan adegan tersebut, namun Sonakshi diberi keyakinan oleh pengarah Shilpi Dasgupta untuk melakukannya.

Aktres itu turut mendedahkan bahawa dia teragak-agak untuk menerima tawaran pada mulanya tetapi mengubah fikiran selepas membaca dan memahami skrip filem.

Sonakshi beranggapan bahawa subjek yang ditonjolkan dalam filem mengenai pembelajaran seks itu relevan dengan situasi sebenar pada masa kini.

Filem "Khandaani Shafakhana" mengisahkan tentang seorang gadis yang perlu mewarisi klinik milik bapa saudaranya. Filem itu turut menampilkan Varun Sharma dan penyanyi rap Badshah.

Dalam perkembangan baru, Sonakshi juga akan membintangi filem "Dabangg 3" di mana dia akan dilihat membawa watak isteri kepada Salman Khan.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: Sonakshi Sinha Instagram)

Penulis: Nisa Irina