Buletin
Sonakshi Sinha akan perlahankan karier lakonan


Tarikh disiarkan: 18 September 2019


Sonakshi Sinha akan menjadi juri bagi sebuah rancangan realiti fesyen digital.

18 Sep – Aktres Sonakshi Sinha mendedahkan minatnya untuk menubuhkan sebuah label fesyen di bawah namanya apabila kerjaya seninya semakin perlahan.

"Saya merupakan bekas pelajar bidang reka fesyen, jadi ia adalah sebuah langkah baru buat saya. Buat masa ini, saya belum memulakan apa-apa lagi sehinggalah saya memperlahankan karier lakonan.

"Kedua-dua karier itu memerlukan sepenuh tumpuan jadi saya akan cuba memberi setiap satunya tumpuan 100 peratus," ujar aktres itu menerusi laporan yang dipetik dari Pinkvilla.

Tambah Sonakshi lagi, dia sentiasa mengekperimentasikan fesyen baru kerana berasa bosan melakukan perkara yang sama berulang kali.


"Jika anda perhatikan saya di karpet merah dan rancangan realiti yang saya sertai, saya sudah mencuba pelbagai benda baru. Saya suka mengekperimentasikan penampilan saya," katanya.

Dalam pada itu, Sonakshi dipilih untuk menjadi juri bagi sebuah rancangan realiti fesyen digital, "Myntra Fashion Superstar", yang ditayang khas menerusi aplikasi Myntra dan Zoom TV.

Seramai sepuluh orang peserta akan bertanding bagi memegang gelaran juara 'India's Next Big Fashion Influencer' dalam rancangan lapan episod itu.

Jurugaya selebriti Shaleena Nathani akan turut menjadi mentor dan juri bersama Sonakshi yang baru-baru ini membintangi filem pecah panggung "Mission Mangal".

Dalam perkembangan baru, Sonakshi akan tampil dalam dua buah filem aksi berjudul "Dabangg 3" dan "Bhuj: The Pride of India".

(Sumber foto: Grazia Magazine)
(Sumber artikel: Pinkvilla)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide