Buletin
Shah Rukh Khan dan Aryan Khan alih suara "The Lion King" 2019 versi Hindi


Tarikh disiarkan: 18 Jun 2019


Shah Rukh Khan dan Aryan Khan bakal alih suara Mufasa dan Simba.

18 Jun – Bintang terkenal Shah Rukh Khan dan anaknya Aryan telah disahkan akan mengalih suara bagi filem 'live-action' Disney "The Lion King" dalam versi Hindi.

Shah Rukh Khan akan mengalih suara bagi karakter Mufasa, Raja Pride Lands, sementara Aryan pula sebagai anaknya, Simba.

Menerusi laporan TheIndianExpress, filem 'live-action' itu adalah sebuah 'remake' dari filem animasi muzikal klasik "The Lion King" 1994.

""The Lion King" adalah salah satu filem yang paling diminati seluruh keluarga saya dan ia mendapat tempat istimewa di hati kami.


"Sebagai seorang bapa, saya boleh berkait dengan watak Mufasa dan hubungan yang penuh kasih sayang dengan anaknya Simba," ujar Shah Rukh Khan dalam satu kenyataannya.

Tambahnya lagi, menjadi sebahagian dari filem ikonik sepanjang zaman itu bersama anaknya merupakan sesuatu pengalaman istimewa buatnya.


Shah Rukh Khan bersama Aryan memakai jersi sama sambil menyaksikan perlawanan kriket India.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Studio Disney India, Bikram Duggal berkata "The Lion King" adalah sebuah filem klasik yang melambangkan kehebatan Disney membawa kisah-kisah menarik selama bergenerasi.

Kini dengan versi baharu, matlamat mereka adalah untuk mencapai bilangan penonton yang lebih ramai, memperkenalkan kisah sekumpulan singa kepada generasi baru sementara menjalin hubungan lebih rapat dengan peminat yang sedia ada.

Pada Ahad lepas, Shah Rukh Khan memuat naik foto bersama Aryan yang menunjukkan mereka memakai jersi kumpulan kriket India berwarna biru dengan nama Mufasa dan Simba ditulis di belakangnya.

"The Lion King" diarahkan oleh Jon Favreau dan bakal ditayangkan pada 19 Julai 2019 dalam versi Bahasa Inggeris, Hindi, Tamil dan Telugu.

(Sumber artikel: The Indian Express)
(Sumber foto: Shah Rukh Khan Twitter & Instagram)

Penulis: Nisa Irina