Buletin
Shah Rukh Khan bakal kembali dengan filem terbarunya


Tarikh disiarkan: 5 Oktober 2019

Shah Rukh Khan bakal jadi pengacara TED Talks India musim kedua.
Shah Rukh Khan bakal jadi pengacara TED Talks India musim kedua.

5 Okt – Selepas berehat dari dunia perfileman akibat kegagalan filem terakhirnya "Zero", kini bintang popular Shah Rukh Khan mendedahkan bahawa dia bakal tampil dengan projek filem terbaru.

"Saya sedang mengambil masa untuk berfikir. Saya sedang menghasilkan lebih kurang dua ke tiga buah skrip dan sejurus saja ia siap ditulis, saya bersedia untuk mengumumkannya.

"Sehingga ke waktu itu, sebahagian daripada beberapa spekulasi yang sedang diperkatakan telah membantu saya mendapatkan idea baru.


"Terdapat sebuah filem berjudul "Tarzan and Jane", dan saya rasa saya ingin membawa watak Tarzan. Mungkin dalam tempoh sebulan dua, saya akan memikirkan tentang perkara itu," katanya yang dipetik dari laporan The Indian Express.

Baru-baru ini, terdapat spekulasi yang mengatakan Shah Rukh Khan akan bekerjasama dengan Ali Abbas Zafar untuk projek terbarunya iaitu 'remake' filem "Kill Bill" versi Hindi.

Walau bagaimanapun, satu sumber terdekat telah menafikan perkara tersebut serta menyatakan Shah Rukh Khan tidak akan menjayakan sebarang watak antagonis dalam mana-mana filem buat masa ini.

Dalam perkembangan lain, Shah Rukh Khan bakal menjadi pengacara bagi rancangan TED Talks India buat kali kedua yang akan disiarkan menerusi saluran Star India Network.

Rancangan TED Talks India musim kedua itu akan disiarkan pada hari ulang tahun kelahiran aktor tersebut, iaitu pada 2 November depan.

Ia juga akan menampilkan 26 orang penceramah dari latar belakang berbeza.

(Sumber foto: indicine.com)
(Sumber artikel: The Indian Express)

Penulis: Nisa Irina