Buletin
Shah Rukh Khan dijemput sebagai tetamu kehormat ke Festival Filem India ke-10


Tarikh disiarkan: 15 Jun 2019


Shah Rukh Khan teruja untuk kembali ke Melbourne untuk meraikan IFFM ke-10.

15 Jun – Bintang Bollywood terkemuka Shah Rukh Khan dijemput sebagai tetamu kehormat ke Festival Filem India (IFFM) ke-10.

Dirasmikan oleh kerajaan Victoria, Australia, festival tersebut akan diadakan di bandar Melbourne bermula 8 hingga 17 Ogos.

"Saya amat berbesar hati untuk menerima jemputan dari kerajaan Victoria dan Festival Filem India Melbourne.

"Industri besar dan penuh kepelbagaian kami berhak untuk diraikan dengan penuh semangat sepertimana dalam festival ini," ujar aktor filem "Zero" dalam sebuah satu kenyataannya yang dipetik dari TheIndianExpress.

Pada tahun ini, festival itu akan meraikan tema utama iaitu 'keberanian' yang terukir dalam keterangkuman dan kepelbagaian dunia filem India.

Bintang berusia 53 tahun itu gembira dengan tema tersebut di mana dia memuji keberanian pembikin filem yang mempunyai kekuatan dalam menyampaikan sebuah cerita dan mampu mengubah masyarakat dan dunia.


"Saya menyimpan banyak kenangan manis semasa menjalani penggambaran "Chak De! India" di Melbourne dan teruja dapat kembali ke sana semula, kali ini untuk meraikan filem India," tambahnya lagi.

Khan akan menghadiri upacara perasmian IFFM pada 8 Ogos bersama tetamu lain serta Perdana Menteri Victoria Daniel Andrews dan pengarah festival Mitu Bhowmick Lange.

Andrews berkata beliau berasa teruja untuk menerima bintang Bollywood itu sebagai sebahagian daripada tetamu kehormat festival berkenaan.

Menteri Industri Kreatif Martin Foley turut memuji industri filem Bollywood dan India sebagai industri terbesar di dunia.

Dalam pada itu, mereka akan memperkenalkan dana Tarikan Panggung Bollywood dan India yang baru bagi membawa lebih banyak produksi filem dari India ke Victoria.

(Sumber artikel: The Indian Express)

(Sumber foto: Times of India)

Penulis: Nisa Irina