Buletin
Sufian Suhaimi tolak tawaran berlakon demi fokus muzik


Tarikh disiarkan: 29 Ogos 2019


Sufian Suhaimi tidak terlalu kejarkan tawaran berlakon kerana ingin fokus menyanyi.

29 Ogos – Penyanyi Sufian Suhaimi mendedahkan dia telah menolak beberapa tawaran berlakon filem, telefilem dan drama berikutan ingin memberi tumpuan lebih kepada bidang muzik.

"Saya tidak mahu bersikap terburu-buru menerima semua tawaran dalam satu masa. Sebenarnya saya lebih meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah lagi.

"Lakonan bukanlah sesuatu yang asing bagi saya kerana sebelum ini saya pernah terlibat dengan pementasan teater. Namun begitu, saya ingin lebih fokus menyanyi buat masa ini," katanya yang ditemui di majlis sidang media selepas pelancaran runut bunyi filem "Motif".

Tambahnya lagi, jika dia ditawarkan untuk berlakon atau menjadi pelakon suara bagi filem animasi yang sesuai, dia akan mempertimbangkan perkara tersebut.


Sebelumnya, Sufian pernah membintangi sebuah telefilem sulungnya berjudul "Bayang" arahan Zul Huzaimy, di mana dia dipilih untuk bergandingan dengan pelakon wanita Elisya Sandha.

Selain itu, dia juga tampil dalam drama komedi tiga episod berjudul "Aku Tak Raya" yang disiarkan di TV3 pada Aidilfitri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Sufian dipilih untuk berduet dengan penyanyi Amira Othman buat kali pertama bagi membawakan runut bunyi filem "Motif" berjudul "Takkan Merubah".

Sufian berharap pembawaan lagu itu dapat seiring dengan jalan cerita filem serta memberikan 'nyawa' kepada filem yang menepati citarasa pengarah serta pihak produksi.

Beralih ke perkembangan baru, Sufian bakal melancarkan buku puisi miliknya berjudul "Senandika Sufian Suhaimi" hasil kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang memuatkan 70 puisi mengenai kehidupan penyanyi itu.

Sufian juga baru sahaja menerima pengiktirafan sebagai Pemimpin Paling Dikagumi di Asia 2019 bagi kategori selebriti selepas tercalon dalam anugerah berprestij peringkat antarabangsa anjuran Herald Global itu.

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide