Buletin
Sunny Kaushal bintangi filem "Bhangra Pa Le"


Tarikh disiarkan: 10 Oktober 2019


Sunny Kaushal telah membentangkan perbezaan dan persamaan
kedua-dua watak yang dibawanya.

10 Okt – Aktor Sunny Kaushal meluahkan keterujaannya apabila bakal tampil menggalas dua watak dalam filem bertemakan tarian, "Bhangra Pa Le" arahan Sneha Taurani.

Menurut Sunny, dua watak tersebut berasal dari dua era yang berbeza, Jaggi Singh berada pada zaman kini sementara Kaptaan (datuk Jaggi) pula berasal dari tahun 40-an.

"Konflik yang kedua-dua karakter perlu hadapi adalah berbeza. Cabaran terbesar adalah untuk melakonkan kedua-dua karakter itu pada hari yang sama.

"Walau bagaimanapun, ia merupakan pengalaman yang bermakna. Banyak benda yang saya dapat pelajari," ujarnya yang dipetik dari Bollywood Hungama.


Tambah adik kepada aktor Vicky Kaushal itu lagi, memandangkan kedua-dua watak itu mempunyai personaliti yang berbeza, dia telah duduk bersama pengarah serta membentangkan perbezaan dan persamaan watak tersebut.

"Selain memastikan bahasa tubuh dan personaliti mereka kelihatan berbeza, ia juga penting untuk mendalami perasaan dan emosi mereka," katanya.

Filem "Bhangra Pa Le" diterbitkan oleh syarikat produksi RSVP Movies yang dikatakan merancang untuk menubuhkan sebuah francais bagi filem itu seperti siri filem "ABCD".

Pada mulanya, filem itu dijadual untuk ditayangkan pada 13 September namun pembikin telah menangguhkan tayangannya sehingga 1 November ini.

(Sumber foto: Times of India)

(Sumber artikel: Bollywood Hungama)

Penulis: Nisa Irina