Buletin
Syafiq Kyle dan Mimi Lana kini lebih selektif terhadap tawaran berlakon


Tarikh disiarkan: 30 September 2019


Syafiq Kyle dan Mimi Lana lebih fokuskan karier sebagai pelakon.

30 Sep – Pasangan pelakon Syafiq Kyle dan Mimi Lana memberitahu mereka ingin mencuba watak yang berbeza selain daripada pasangan bercinta dalam projek drama dan filem pada masa akan datang.

"Sebelum ini kami ada menerima tawaran untuk watak bercinta. Bukan tak mahu, tetapi kami berdua pun sedang bercinta jadi kenapa perlu bercinta lagi di set penggambaran?

"Kami boleh bagi lebih daripada itu contohnya sebagai pasangan kembar tak seiras. Hakikatnya kami ingin mencapai tahap lain dalam potensi kami sebagai pelakon," katanya yang ditemui di majlis pelancaran filem "Pusaka" di Bukit Lanjan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah pelakon filem "Langsuir" ini, dia dan Mimi ingin mencabar tahap kemampuan diri masing-masing terhadap karier masing-masing dan belum terfikir untuk membawa hubungan mereka ke peringkat selanjutnya.

Dalam pada itu, Mimi berkata membawa watak berbeza lebih mudah daripada melakonkan watak bercinta bersama Syafiq dan hubungan mereka lebih seperti kawan biasa berbanding pasangan bercinta yang dilihat dalam drama.

Rata-rata peminat teruja apabila mereka mendedahkan hubungan mereka melalui foto yang dikongsikan oleh Mimi di laman Instagram untuk mempromosikan drama kedua gandingan mereka iaitu "Bukan Cinta Aku".

"Perkara ini bukan satu laluan mudah untuk saya meraih populariti dan peminat. Saya ada benda yang saya ingin buktikan sendiri melalui karier saya.


"Saya sesekali tidak akan mengambil kesempatan di atas populariti Syafiq. Kalau saya popular tapi tidak ada kualiti dalam lakonan, tidak ada makna pun," tambahnya lagi.

Syafiq dan Mimi telah menjalinkan hubungan cinta selama empat tahun sejak mereka digandingkan dalam drama "Sekali Aku Jatuh Cinta" yang ditayangkan pada tahun 2016.

Dalam perkembangan lain, Syafiq dan Mimi membuat debut gandingan dalam filem seram terbaru berjudul "Pusaka" yang diarahkan oleh Razaisyam Rashid.

Filem itu turut dibintangi oleh Hafidz Roshdi, Sweet Qismina, Ogy Ahmad Daud, Faizal Hussein, Draman Muhammad, Aloy Paradox dan Yuna Rahim.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, filem "Pusaka" bakal menghantui pawagam bermula 31 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Pusaka (Melayu) (31 Oktober 2019)
Gol Dan Gincu Vol. 2 (Melayu) (25 Oktober 2018)
Langsuir (Melayu) (20 September 2018)