Buletin
Syafiq Kyle teruja dapat bintangi teater terbitan Erma Fatima


Tarikh disiarkan: 8 Julai 2019


Syafiq Kyle tidak dapat dedahkan butiran lanjut mengenai teater yang bakal dibintangi buat masa ini.

8 Jul – Pelakon popular Syafiq Kyle akui tidak sabar untuk beraksi di pentas teater selepas mendapat tawaran untuk membintangi sebuah naskhah terbitan penerbit tersohor tanah air, Erma Fatima.

Menurut Syafiq, pembabitannya dalam pentas teater ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman lakonan baru buatnya, tetapi juga dapat melebarkan lagi portfolio seninya.

"Sejujurnya, saya sudah lama ingin berlakon teater. Maklumlah, apabila kita berlakon di atas pentas yang besar, pengalaman yang bakal diraih nanti juga berbeza.


"Tambahan pula, saya memang suka mencuba perkara baharu. Jadi apabila Erma Fatima memberikan tawaran, saya terus terima tanpa berfikir panjang," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata dia bakal bergandingan dengan pelakon popular iaitu Janna Nick.

Dalam pada itu, ditanya mengenai watak dan jalan cerita naskhah teater itu, pelakon berusia 27 tahun itu tidak dapat mendedahkan butiran lanjut mengenai naskhah itu buat masa ini.

Bagaimanapun, satu pengumuman rasmi mengenai pementasan teater akan diadakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, selain teater Syafiq juga bakal muncul dengan dua buah filem terbaru iaitu "Setia Menanti" arahan Osman Ali dan "Maritim".

(Sumber foto: Syafiq Kyle Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide