Buletin
Taapsee Pannu bakal bintangi filem 'supernatural-thriller'


Tarikh disiarkan: 10 Ogos 2019


Taapsee Pannu sentiasa bersedia untuk menghadapi segala cabaran watak yang diberikan.

10 Ogos – Aktres berbakat Taapsee Pannu mendedahkan bahawa dia bakal membintangi sebuah filem bergenre 'supernatural-thriller' arahan Anurag Kashyap.

"Filem ini tidak mempunyai babak seram seperti filem saya yang sebelumnya iaitu "Game Over". Ia adalah elemen 'supernatural' yang mengubah kehidupan orang yang terlibat serta penampilan saya.

"Saya akan mudah dicam oleh penonton dalam filem tetapi ia adalah Taapsee yang berbeza dari yang anda kenali," ujarnya menerusi laporan dari Mumbai Mirror.

Selain konsep filem yang baru dan berbeza, Taapsee juga akan mengubah penampilannya dalam filem serta menyatakan dia sentiasa bersedia untuk apa sahaja yang ditetapkan oleh Anurag.

Sebelum ini, Anurag telah memintanya untuk mewarnakan rambutnya perang bagi menjayakan watak Rumi Bagga dalam filem "Manmarziyaan".

Walaupun filem itu mempunyai ramai watak, namun tiada watak protagonis lelaki yang akan tampil sekaligus menjadikan Taapsee sebagai peneraju wanita utama.


Dalam pada itu, dia memberitahu penggambaran akan dijalankan di luar negara pada hujung tahun ini kerana pihak produksi ingin mencari lokasi yang agak gelap supaya sesuai dengan konsep filem.

Beralih ke perkembangan baru, Taapsee sedang menantikan tayangan filem "Mission Mangal" bersama Akshay Kumar, Vidya Balan, Sonakshi Sinha, Kirti Kulhari, Nithya Menen dan Sharman Joshi.

Selain itu, dia juga akan membintangi sebuah filem biopik terbitan Anurag iaitu "Saand Ki Aankh" dan "Thappad" arahan Anubhav Sinha.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Ritzy Star)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide